Pemuda Bersatu terus bergolak apabila dua lagi exconya bertindak melepaskan jawatan yang dipegang dalam biro sayap parti itu.
Pasangan itu - Abdul Asis Rishad Khan dan Afrizan Jamil membuat keputusan meletak jawatan sebagai ahli jawatankuasa biro pengurusan Pemuda Bersatu.
Bagaimanapun, menurut laporan portal Free Malaysia Today, mereka masih mengekalkan jawatan exco tetapi tanpa memegang sebarang portfolio.
Kedua-dua mereka dilantik ke biro itu oleh Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham pada 29 Nov tahun lepas.
Pada 9 Januari lalu, Meor Naqiuddin Shamsudin juga melepaskan jawatannya sebagai ketua Biro Profesional dan Sukarelawan Pemuda parti itu berkuatkuasa 5 Jan.
Meor berkata peletakan jawatannya itu dibuat atas sebab perbezaan pendirian dengan kepimpinan Hilman yang 'dilihat luar daripada kebiasaan' dan tidak menggambarkan amalan pentadbiran yang baik.
Bagaimanapun Hilman dalam kenyataan balasnya, menafikan dakwaan wujudnya salah faham antara kepimpinan sayap parti itu dengannya.
Sebaliknya, dia mendakwa peletakan jawatan Meor Naqiuddin dibuat kerana bermasalah dalam menguruskan organisasi.
Kata Hilman, ini selepas Meor Naqiuddin gagal menyerahkan segala dokumen berkaitan ‘pentadbiran dan pengurusan’ kepimpinan terdahulu sayap parti itu kepada kepimpinan baru yang dilantik pada pemilihan Perhimpunan Agung Pemuda Bersatu yang lalu.
Sementara itu, Asis dan Afrizan yang berasal dari Sabah dipetik sebagai berkata, walaupun Pemuda Bersatu mempunyai tiga exco yang dipilih dari Sabah, namun peranan biro yang diberikan kepada mereka tidak signifikan.
“Menempatkan kami bertiga dalam biro pengurusan, tanpa peranan khusus, adalah tidak wajar.
“Bagaimanapun, tanpa portfolio, ia akan memberi kami lebih banyak ruang untuk berkhidmat dengan lebih baik dan menumpukan tenaga untuk memperkukuh parti di Sabah bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang dan pilihan raya umum ke-16,” katanya dalam satu kenyataan secara bersama.
Pada 29 Okt tahun lalu, Hilman yang juga Adun Gombak Setia diumumkan sebagai ketua Armada Bersatu bagi penggal 2024-27.
Dia memperolehi 1,888 undi mengatasi pencabarnya, Akmal Zahin Zainal Zahir dengan perbezaan 170 undi.