Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua nelayan hilang lepas enjin bot rosak di laut
Diterbitkan:  Jan 17, 2025 3:20 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Dua nelayan dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka dipercayai mengalami kerosakan enjin di perairan Pulau Undan, Melaka semalam.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian menerusi kumpulan WhatsApp Sahabat Maritim kira-kira jam 5 petang.

Katanya Muarep Sakem, 63; dan awak-awak, Rosenizam Maharam, 50; dilaporkan hilang ketika memukat ikan. Menurutnya kali terakhir berhubung dengan majikan mereka bagi memaklumkan kerosakan enjin bot pada 10 pagi semalam.

"Mereka menaiki bot gentian kaca bernombor pendaftaran MKF 3861 berwarna coklat dan biru. Operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada 7.30 malam tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairi berkata bot nelayan berhampiran turut membantu melakukan pencarian, namun setakat ini gagal menemukan sebarang petunjuk.

Katanya operasi pencarian meliputi kawasan seluas kira-kira 548 kilometer persegi diteruskan pagi ini dengan disertai 58 pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Sapura Industrial Bhd.

“Operasi itu melibatkan penggunaan sebuah bot APMM, dua bot Pasukan Polis Marin, sebuah bot kevlar dan dua bot aluminium milik JBPM,” katanya.

Mohd Khairi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian menghubungi APMM Negeri Melaka dan Negeri Sembilan menerusi talian 06-3876730 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS