Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Jho Low belot pada Datuk Seri?’ Tak setuju, kata Najib

BICARA 1MDB l Najib Razak menolak wawancara usahawan buruan, Low Taek Jho (Jho Low) pada tahun 2015 yang dikatakan cuba mengheret bekas perdana menteri itu dengan skandal 1MDB.

Najib yang juga bekas menteri kewangan dalam  keterangan di Mahkamah Tinggi di Putrajaya memaklumkan bahawa wawancara Low dengan portal perniagaan Euromoney bertajuk Jho Low says it ain't so: Malaysian tycoon denies role in 1MDB heist of the century cuba memburuk-burukkan dirinya.

Najib disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, mengenai kenyataan Low yang menafikan dia bertanggungjawab terhadap dakwaan salah laku kewangan di 1MDB.

Mustaffa: Dalam artikel Euromoney itu, Low menyalahkan pemegang saham (1MDB melalui Menteri Kewangan Diperbadankan atau MoF), khususnya Datuk Seri (Najib). 

Saya katakan berdasarkan keterangan ini, Jho Low sebenarnya thrown you under the bus (belot)?

Najib: Saya tidak setuju. Saya patuh kepada tadbir urus korporat. Jelas bahawa pemegang saham hanya terlibat kemudian (dalam proses membuat keputusan 1MDB).

Apa yang penting adalah lembaga pengarah dan pengurusan (1MDB).

Tertuduh kemudian menjelaskan bahawa peranannya sebagai pemegang saham ketika itu dalam 1MDB adalah sebahagian daripada tugas rasminya, dan pembuat keputusan muktamad akhirnya terletak pada lembaga pengarah diikuti oleh pengurusan.

Mustaffa seterusnya membaca petikan kenyataan Low daripada artikel itu, dengan berkata, Low meluahkan rasa kecewa terhadap serangan yang diterimanya pada tahun 2015.

Timbalan pendakwa raya tersebut berkata, Low menyebut, Guys, it's very simple, there's a board, who's the shareholder?

Mustaffa: Jadi saya katakan Datuk Seri tak tahu dari mana wang yang masuk dalam akaun Datuk Seri tetapi Datuk Seri tahu bagaimana hendak membelanjakannya.

Najib: Duit tu dari Arab Saudi, duit dari Raja Abdullah. Setakat itu saja pengetahuan saya.

Mustaffa: Saya katakan, Jho Low adalah imej cermin (mirror) imej Datuk Seri dalam menjalankan urusan dalam 1MDB.

Najib: Tidak, tidak tidak. Saya tak setuju.

Semalam, semasa perbicaraan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion 1MDB, Najib memberi keterangan bahawa dia pernah bersemuka dengan Low pada tahun 2015 mengenai gaya hidup mewah usahawan tersebut.

Tertuduh mendakwa dia tidak mengetahui tentang salah laku di 1MDB dan bahawa semua penyelewengan itu sepenuhnya dirancang dan didalangi oleh Low dan ahli pengurusan syarikat tersebut.

Najib sebelum ini memberi keterangan bahawa walaupun Low menunjukkan mempunyai hubungan rapat dengan pegawai di Asia Barat, bekas perdana menteri itu mendakwa dia akhirnya diperdaya oleh usahawan tersebut yang didakwanya menyeleweng dana 1MDB dan kemudiannya melarikan diri.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Najib diperintahkan untuk membela diri terhadap empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion daripada 1MDB.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib.

Hakim memutuskan bahawa Najib perlu menjawab pertuduhan tersebut berdasarkan kekuatan keterangan daripada 50 saksi sepanjang perbicaraan pendakwaan yang berlangsung selama enam tahun sejak 2019. Tertuduh pertama kali didakwa pada 2018.

Sejak keputusan prima facie itu, Najib telah memberi keterangan untuk membela diri terhadap pertuduhan jenayah 1MDB.

Tertuduh mengekalkan bahawa beliau tidak mengetahui sebarang salah laku di 1MDB dan bahawa Low serta ahli pengurusan syarikat itu yang merancang penyelewengan dana tersebut.

Dia juga bergantung kepada pembelaan bahawa dirinya  percaya akan menerima derma daripada kerabat diraja Arab berdasarkan sumbangannya kepada dunia Islam.

Najib diwakili oleh peguam Tania Scivetti.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS