Malaysia dan United Kingdom (UK) telah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Perdagangan dan Ekonomi (JETCO) pertama yang dipimpin oleh menteri berkaitan dari kedua-dua negara.
Dalam kenyataan bersama dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini, Malaysia dan UK menyifatkan mesyuarat itu sebagai menandakan pengukuhan hubungan perdagangan dua negara itu yang turut disokong oleh keanggotaan dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans- Pasifik (CPTPP).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Dasar Perdagangan dan Keselamatan Ekonomi UK Douglas Alexander telah mengadakan perbincangan positif dalam usaha meneroka kaedah bagi meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala.
“Kedua-dua menteri itu turut menyokong pelan kerja bersama yang berwawasan bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang keutamaan seperti perkhidmatan guaman, pendidikan, standard (piawaian) dan penilaian pematuhan, pertanian serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS)
“Mesyuarat itu turut menyentuh aspek potensi kerjasama Malaysia dan UK dalam bidang kastam, kewangan Islam, koperasi dan perusahaan sosial,” katanya.
Penganjuran mesyuarat itu adalah bersempena dengan lawatan kerja lima hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke United Kingdom bermula pada 15 Jan, 2025.
Dalam lawatan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan diiringi oleh Tengku Zafrul dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Bala Chandran Tharman.
Menurut MITI, Tengku Zafrul dan Alexander turut mengulas mengenai CPTPP dengan kedua-duanya mengalu-alukan perjanjian perdagangan bebas pertama Malaysia dan UK susulan penyertaan negara maju itu yang berkuat kuasa pada 15 Dis, 2024.
“Kedua-dua pihak komited untuk terus bekerjasama rapat bagi menyokong perniagaan Malaysia dan UK memanfaatkan perjanjian ini dengan berkesan,” katanya.
Selain itu, hubungan ekonomi dua hala dua negara itu bagi tempoh Januari hingga November 2024 menyaksikan UK menjadi rakan dagang ke-21 terbesar Malaysia serta rakan dagang keempat terbesar di Eropah.
Jumlah perdagangan Malaysia dan UK pula mencecah RM15.29 bilion (US$3.34 bilion).
- Bernama