Pelukis grafik Fahmi Reza sedia untuk hadir dan membela diri di Mahkamah Anak Negeri Keningau berhubung karikaturnya yang menggambarkan Yang di-Pertua negeri Sabah, Musa Aman sebagai individu paling korup di negeri itu.
Dalam satu kenyataan di akaun media sosialnya, Fahmi berkata dia juga bersedia menghadapi sebarang hukuman, termasuk penjara dan denda, bagi mempertahankan haknya menggunakan seni untuk memerangi rasuah.
“Majoriti rakyat Sabah tahu saya bukan musuh masyarakat KDM (Kadazan, Dusun, Murut) atau rakyat Sabah. Musuh kita semua adalah koruptor dan mereka yang melindungi mereka.
“Aku bersedia kena sogid atau masuk penjara bagi pertahankan hak dan kebebasan aku untuk gunakan seni sebagai senjata melawan koruptor negara kita,” katanya. dalam kenyataan yang disiarkan hari ini.
Kenyataan Fahmi ditujukan kepada Ketua Daerah Bingkor, Orang Kaya Kaya Daniel Palangi.
Semalam, Mahkamah Anak Negeri Keningau memaklumkan akan mengeluarkan saman terhadap Fahmi kerana menganggap karikaturnya itu sebagai satu penghinaan serius kepada Musa dan rakyat Sabah, khususnya masyarakat KDM.
Ibu Musa berketurunan Dusun dan berasal dari Keningau.
Fahmi mengkritik Musa melalui karikatur “Koruptor No 1 Sabah” sejak pelantikannya sebagai yang di-Pertua negeri Disember lalu.
Karikatur yang dilakar Fahmi memaparkan Musa memakai tengkolok, sambil memegang wang kertas RM100 di mulutnya.
Versi awal karikatur itu turut memaparkan kata-kata “Perasuah Nombor Satu Sabah”.
Fahmi juga didakwa menampal poster itu di dinding Kompleks Asia City di Kota Kinabalu pada 27 Disember namun ia diturunkan beberapa jam kemudian.
Ekoran daripada itu Fahmi ditahan pada petang 30 Disember untuk disiasat sebelum dibebaskan daripada tahanan reman di lokap polis Sabah dan dihantar kembali ke Semenanjung pada petang Selasa, beberapa jam sebelum perintah tahanan remannya tamat.