Paling Popular
Terkini
1

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengesahkan Ismail Yusop dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (Jkom).

Ismail dipilih mengisi jawatan tersebut selepas ia dikosongkan penyandang, Khairuddin Othman, yang meletakkan jawatan sejak tiga bulan lalu.

“Sahih,” kata Fahmi ringkas melalui aplikasi WhatsApp ketika ditanya mengenai perkara itu, hari ini.

Semalam pelantikan Ismail dikongsikan di laman Facebook Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM).

Pelantikan bekas senator PKR itu ibarat ‘sireh pulang ke gagang’ kerana sebelum ini dia pernah berkhidmat di Jkom sebagai timbalan ketua pengarah.

Sejak Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri selepas PRU ke-15, Jkom diterajui tiga orang ketua pengarahnya, termasuk Ismail.

Jawatan lantikan politik itu pada awalnya digalas bekas penyarah sains politik, Muhammad Aguf Yusoff, yang berkhidmat antara Feb hingga Nov 2023.

Ismail pula berperanan sebagai timbalannya ketika itu.

Agus bagaimanapun meninggalkan Jkom selepas terpalit dengan isu kontroversi peribadi, manakala Ismail turut keluar bagi menggalas timbalan ketua pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia.

Susulan itu khidmat Agus diganti oleh Khairuddin yang juga bekas Adun Paya Jaras selama enam bulan sebelum berakhir Sep tahun lalu selepas kontraknya ditamatkan.

Sementara itu Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Malaysia Mohamad Fauzi Md Isa berkata pelantikan Ismail berkuat kuasa bermula 15 Jan.

Dia turut mengucapkan tahniah kepada Ismail atas pelantikan tersebut.

“Semoga dapat menggalas amanah yang diberikan sebaiknya,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini, yang turut berkongsi gambar sesi penyerahan watikah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS