Bekalan elektrik dan air yang bersih, serta kemudahan jalan raya yang baik adalah keperluan infrastruktur asas yang wajar dimiliki oleh setiap rakyat, kata ketua pembangkang Hamzah Zainudin.
Pemimpin PN berkata demikian sambil mengkritik kerajaan Sabah yang dianggapnya gagal menangani isu asas tersebut.
"Rakyat Sabah perlukan perubahan kerana kepimpinan sekarang terbukti gagal," tulisnya dalam catatan Facebook malam tadi.
Hamzah yang mengadakan lawatan ke Sabah bersama beberapa pemimpin kanan PN minggu ini berkongsi pengalaman mereka berdepan dengan rasa kekecewaan yang disuarakan penduduk setempat.
Di Sabah, katanya, itulah rungutan utama yang disuarakan rakyat dan mereka bukan saja kecewa bahkan berasa marah dengan keadaan yang berlaku.
Malah Hamzah sempat menceritakan pengalamannya berdepan secara langsung dengan kesukaran yang dialami semasa menginap di sebuah hotel di Kota Kinabalu.
Di situ, kata ketua pembangkang berkenaan, setiap pelanggan diberikan notis mengenai gangguan bekalan air yang dialami.
"Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kudat juga mencabar. Jalan berlubang sana-sini, tetapi ironinya terpampang slogan Sabah Maju Jaya," katanya.
Hamzah menegaskan PN komited untuk melakukan perubahan di Sabah dengan mendakwa gabungan itu mendapat sokongan luar biasa daripada rakyat setempat.
Sabah semakin menghampiri pilihan raya negeri (PRN) yang perlu diadakan selewat-lewatnya Okt ini. Kali terakhir negeri itu mengakan PRN ialah pada 2020 ekoran krisis politik yang menyaksikan cubaan menyingkirkan Mohd Shafie Apdal daripada jawatan ketua menteri.
Ketika ini kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terpalit dengan skandal rasuah membabitkan pengeluaran lesen cari gali perlombongan. Skandal itu terbongkar selepas pemberi maklumat mendedahkan video yang melibatkan beberapa Adun negeri berkenaan.
Semalam Hamzah mengumumkan rancangan Bersatu untuk kekal meletakkan calon di 18 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah dalam PRN akan datang. Hal itu kerana, katanya, keputusan PRN lalu menunjukkan pencapaian baik Bersatu apabila memenangi 11 daripadanya.