Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi bukan nak kena berjoget kalau jadi PM, kata ulama PAS
Diterbitkan:  Jan 17, 2025 9:00 AM
Dikemaskini: 1:00 AM

Selepas mendapat pelbagai reaksi - termasuk yang negatif - terhadap saranan menamakan Abdul Hadi Awang sebagai calon perdana menteri, ulama kanan PAS, Mokhtar Senik, hari ini menjelaskan apa yang terkandung dalam pemikirannya.

Kata Mokhtar dia menamakan Presiden PAS itu sebagai cadangan jika orang ramai mahukan sebuah kerajaan Islam dan negara Islam tertegak di Malaysia.

"Ada satu hal yang mereka gagal faham mengenai status (di media sosial semalam) itu.

"Maksud saya TGHH (Tuan Guru Haji Hadi) paling layak itu jika mahukan sebuah kerajaan Islam dan negara Islam.

"Tapi kalau mahukan sebuah negara sekular, liberal yang macam ada sekarang memanglah TGHH tak layak," katanya.

Semalam Mokhtar menamakan Abdul Hadi, 77, sebagai calon perdana menteri yang pada pandangannya mampu membawa wajah baru politik di negara ini.

Antara alasan yang diberikan ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat itu ialah, Abdul Hadi memiliki ciri penting untuk seseorang menjadi pemimpin, iaitu berilmu dan bertakwa sehingga dapat mengenal batas di antara halal dan haram, serta pada masa sama mendirik rakyat mengenainya.

Untuk rekod, amalan menamakan calon perdana menteri bukanlah sesuatu yang aneh dalam politik. Ia ada dilakukan dari semasa ke semasa khususnya menjelang kedatangan pilihan raya umum. Antara lain ia bagi memudahkan orang ramai membuat pilihan calon atau parti yang akan disokong.

Bagaimanapun pada 22 Dis 2017 Abdul Hadi pernah menegur tindakan pihak yang menamakan calon perdana menteri lebih awal atas alasan ia bercanggah dengan amalan Rasulullah SAW.

Katanya PAS menolak amalan tersebut kerana menganggap ia mungkin menjadi "bangkai" sahaja.

"Maka, PAS tidak mendahulukan pembentukan kabinet atau melantik siapa bakal perdana menteri, yang bakal menjadi bangkai sahaja.

"Inilah adab yang diajar oleh Rasulullah SAW apabila ketua kabilah Bani Amir yang ditawarkan kemenangan Islam bertanyakan siapa ketua negaranya, lantas baginda SAW bersabda: 'Itu urusan Allah yang menentukan dengan kehendak-Nya'," kata Abdul Hadi dalam kenyataan itu.

Kata Mokhtar dari satu segi memang Abdul Hadi kelihatan uzur seperti yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak sehingga menyukarkan dia menjadi pemimpin. Pun begitu, bagi Mokhtar ia bukanlah suatu masalah.

"Tapi kamu kena ingat kerja PM (perdana menteri) bukan berjoget. Kalau nak berjoget-joget tunjuk langit memanglah Tuan Guru tak boleh," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS