Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hospital awam bukan kilang peras tenaga, kata NGO
Diterbitkan:  Jan 16, 2025 10:05 PM
Dikemaskini: 2:06 PM

Ketua Eksekutif Galen Centre Azrul Mohd Khalib hari ini membandingkan hospital awam dengan kilang peras tenaga (sweatshop).

Azrul dalam kenyataan di X berkata bekerja dalam syif 18 jam adalah eksploitatif dan tidak berperikemanusiaan serta tidak selamat untuk pekerja.

Tambahnya, dalam kes pekerja penjagaan kesihatan, ia boleh membawa kemudaratan kepada pesakit.

"Pekerja pakaian di Bangladesh bekerja di kilang peras tenaga 14-16 jam sehari.

"Adakah kita (hospital awam) kilang peras tenaga?" soalnya.

Dia merujuk kepada sistem Waktu Bekerja Berlainan (WBB) untuk kerja syif, yang bermula pada 1 Feb di tujuh hospital.

Awal hari ini, Free Malaysia Today melaporkan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad sebagai berkata bahawa dia tidak diberi taklimat atau kelulusan untuk WBB.

Sistem itu masih diperhalusi, katanya, sambil menambah bahawa dia tidak tahu bagaimana maklumat itu bocor.

“Kami pastinya perlu melalui sesi libat urus yang ketat dengan pakar penjagaan kesihatan, pakar dan ketua jabatan (sebelum meluluskannya),” katanya.

Semalam, Persatuan Perubatan Malaysia membangkitkan kebimbangan mengenai WBB, dengan mengatakan ia boleh membebankan sistem penjagaan kesihatan awam yang sudah sedia terbeban.

Langkah itu juga, katanya, akan menjejaskan pendapatan pegawai perubatan dan pakar kerana elaun atas panggilan akan dihadkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS