Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bicara Ebit Lew: Mesej WhatsApp dipadam, gagal diperoleh semula

Seorang saksi dalam perbicaraan kes gangguan seksual melibatkan Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, memberitahu Mahkamah Majistret di Tenom hari ini bahawa mesej melalui WhatsApp antara pengadu dan pendakwah bebas itu yang telah dipadam, tidak dapat diperoleh semula.

Ketua Divisyen, Perkhidmatan Teknologi Responsif CyberSecurity Malaysia Mohd Zabri Adil Talib, 45, selaku saksi ke-15 mengakui telah melakukan analisis terhadap dua kad sim milik pengadu dan satu milik Lew menggunakan perisian khas.

"Saya maksudkan tidak dapat peroleh mesej yang telah dipadam merujuk kepada semua nombor… Sekiranya mesej WhatsApp telah dipadam, ia tidak dapat dikesan semula kerana kekangan teknologi yang ada pada masa kini," katanya dalam kenyataan bertulis bagi menjawab pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi.

Beliau berkata pihaknya membuat analisis terhadap tiga nombor itu berdasarkan permohonan daripada Pegawai Penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) DSP Noor Asyikin Shamsuri yang memohon untuk mengesan maklumat perbualan yang telah dipadam dalam aplikasi WhatsApp.

Mohd Zabri selaku individu yang mengesahkan laporan digital forensik kes berkenaan berkata pemeriksaan itu juga hanya dapat dilakukan terhadap telefon bimbit milik pengadu, kerana telefon bimbit Lew tidak mempunyai aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata hanya jumlah perbualan telefon melalui WhatsApp dapat dikesan daripada telefon bimbit pengadu, yang mempunyai maklumat serta sejarah komunikasi dengan pendakwah berkenaan.

Lew, 39, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani bersambung pada 11 hingga 14 Mac depan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS