Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Kalwinder Singh Khaira berkata Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sepatutnya mempertimbangkan kenaikan caj secara beransur-ansur.
Dr Kalwinder berkata ini amat penting memandangkan status PPUM sebagai satu-satunya hospital awam yang menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan menyeluruh di Petaling Jaya.
"Hospital Kementerian Kesihatan (KKM) terdekat adalah di Shah Alam, Selayang atau Sungai Buloh yang agak jauh," katanya kepada Malaysiakini.
Pada 4 Jan, PPUM mempertahankan keputusannya untuk menaikkan caj pesakit untuk prosedur, rawatan dan perkhidmatan berikutan peningkatan kos.
Sehari sebelumnya, MalaysiaNow melaporkan bahawa PPUM telah mengumumkan kenaikan sehingga 70 peratus dalam caj pesakit.
Memetik laporan akhbar harian Cina Guang Ming Daily, caj wad hospital itu akan dinaikkan sebanyak 60 peratus, daripada RM120 kepada RM300.
Bayaran untuk rawatan susulan di klinik pakar dinaikkan daripada RM15 kepada RM50, iaitu peningkatan sebanyak 70 peratus.
Dalam kenyataannya, Kalwinder mengulangi pendiriannya bahawa bayaran hospital sepatutnya dinaikkan secara berperingkat kerana kumpulan B40 akan paling terjejas.
“Caj untuk perundingan pakar, kemasukan wad serta caj pendahuluan untuk prosedur pakar dan kemasukan wad penjagaan kritikal mungkin tidak mampu untuk kumpulan pesakit ini.
“Pesakit daripada kumpulan berpendapatan B40 masih perlu diberi subsidi oleh kerajaan mengikut dasar semasa di semua kemudahan penjagaan kesihatan awam,” katanya.
Bagaimanapun, dia melahirkan kebimbangan isi rumah dengan ahli keluarga ramai atau ramai tanggungan tidak mampu membayar kadar baru itu.