BICARA 1MDB l Najib Razak hari ini memberi keterangan bahawa dakwaan rakaman sulit SPRM berhubung perbualannya sangat mengganggu kerana ia adalah pelanggaran hak asasi perdana menteri dan rakyat.
Semasa perbicaraan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram 1MDB bernilai RM2.27 bilion di Mahkamah Tinggi di Putrajaya hari ini, bekas perdana menteri itu berkata dakwaan perbualan audio itu kononnya melibatkan dirinya dan seorang pegawai kanan dari Abu Dhabi.
Najib meluahkan rasa tidak senangnya apabila Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib menyoalnya mengenai rakaman audio perbualan yang didakwa antara tertuduh dan pegawai dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) tersebut.
Rakaman audio itu adalah sebahagian daripada beberapa rakaman yang didedahkan kepada umum oleh ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu, Latheefa Koya, pada Januari 2020. Pendakwaan menggunakan rakaman tersebut dalam perbicaraan 1MDB terhadap Najib.
Ketika memberi keterangan hari ini, Najib berkata dia tidak pasti jika salah satu suara dalam rakaman audio itu adalah dirinya yang berbincang dengan pegawai Abu Dhabi tersebut. Najib berkata rakaman itu sangat mengganggu kerana didakwa melanggar hak perdana menteri yang sedang berkhidmat.
"Ini adalah rakaman haram yang saya tidak selesa dengannya, sebagai perdana menteri sedang berkhidmat, kamu memiliki perbualan yang dirakam (dengan ketua negara lain), dan saya tidak dapat mengesahkan perbualan itu atau memastikan kesahihannya.
"Saya tidak boleh mengesahkan perbualan ini untuk memastikan kesahihannya, ini adalah pelanggaran serius terhadap hak saya,” katanya.
Menurut Najib lagi, ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan sehingga kini dan siapa yang merakamkan dakwaan perbualan itu juga tidak diketahui.
“Ini benar-benar mengganggu. Sumber rakaman ini sangat membimbangkan. Kita perlu meneliti kesahihan perkara ini, ia benar-benar menjengkelkan. Sumber rakaman itu sangat membingungkan dan mengganggu saya.
"Peguam saya akan berhujah (di mahkamah), bukan sahaja untuk seseorang sebagai perdana menteri sedang berkhidmat tetapi juga individu lain yang mempunyai hak perlembagaan, rakaman seperti ini digunakan di mahkamah adalah pelanggaran privasi seorang perdana menteri dan perbualan antara dua ketua kerajaan.
"Sikap kerajaan yang menerima perkara ini sangat membimbangkan. Perbualan dengan perdana menteri pada masa itu boleh dirakam dan digunakan di mahkamah. Ini sangat mengganggu dari sudut mana pun, dari sudut perlembagaan, sudut diplomatik, dan kepentingan Malaysia dalam jangka panjang," kata Najib.
Sebelum itu, Najib mempersoalkan tindakan pendakwaan yang mengaitkan 1MDB sebagai syarikat yang ditubuhkannya.
Dia itu berulang kali menegaskan bahawa 1MDB pada asalnya adalah syarikat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang diambil alih kerajaan persekutuan pada 25 September 2009.
Katanya, ia bukan idea beliau untuk menubuhkan syarikat itu, yang berperanan mencari pelaburan tenaga baharu untuk negara.
"Saya bantah (tindakan pendakwaan mengaitkan) ia (1MDB) sebagai baby saya.
"Jangan kaitkan saya dengan 1MDB sebagai baby saya, kamu tidak boleh mengaitkannya sebagai baby saya. Saya tidak bertanggungjawab dengan penubuhannya.
"Ini saya tidak boleh terima," katanya sambil menegaskan bahawa penubuhan syarikat pelaburan 1MDB itu bukan idea dirinya.
Mustaffa: Tetapi 1MDB adalah jenama Datuk Seri.
Najib: Ya, tetapi asal usul 1MDB bukan begitu. Kamu buat sindiran tertentu dengan kenyataan ini.
Mustaffa: Yang Arif, Saya serahkan kepada penghujahan.
Pada 30 Oktober tahun lalu, Najib diarahkan untuk membela diri atas empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana RM2.27 bilion daripada 1MDB.
Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berhubung syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Hakim kemudian memutuskan bahawa Najib perlu menjawab tuduhan tersebut berdasarkan kekuatan keterangan 50 saksi dalam peringkat pendakwaan yang berlangsung selama enam tahun sejak perbicaraan bermula pada 2019. Tertuduh pertama kali didakwa pada 2018.
Sejak keputusan prima facie itu, Najib telah memberi keterangan membela diri terhadap tuduhan jenayah 1MDB.
Tertuduh mengekalkan bahawa dia tidak mengetahui tentang sebarang kesalahan di 1MDB dan mendakwa Low serta ahli pengurusan adalah dalang penyelewengan dana tersebut.
Dia juga bergantung kepada pembelaan bahawa dirinya percaya akan menerima sumbangan daripada kerabat Arab Saudi berhubung sumbangannya kepada dunia Islam.
Najib diwakili oleh peguam kanan, Muhammad Shafee Abdullah dan Tania Scivetti.