Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda M'sia ditahan seludup dadah ke S'pura bernilai lebih setengah juta

Seorang pemuda warga Malaysia berusia 21 tahun sedang disiasat di Singapura kerana cuba menyeludup dadah bernilai lebih S$169,000 (S$1 = RM3.29) ke negara itu, termasuk lebih 4.6 kilogram ganja, pada Selasa, kata pihak berkuasa pada Khamis.

Pihak Berkuasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) dan Biro Narkotik Pusat (CNB) berkata sejumlah kira-kira 4,648 gram ganja, 542g Ice dan 250 tablet Erimin-5 ditemukan disembunyikan di pelbagai bahagian motosikal lelaki itu semasa berhenti di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Pegawai ICA menemukan satu bungkusan hitam di bahagian depan fairing motosikal tersebut sebelum memaklumkan kepada CNB untuk pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan berdaftar Malaysia itu, yang membawa kepada penemuan penuh.

“Dadah tersebut berpotensi untuk mengekalkan ketagihan kira-kira 970 penagih untuk seminggu. Siasatan sedang dijalankan,” menurut pihak berkuasa itu dalam satu kenyataan bersama pada Khamis.

Di bawah Seksyen 7 Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, individu yang mengimport atau mengeksport lebih 500g ganja atau 250g methamphetamine ke atau dari Singapura boleh dikenakan hukuman mati.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS