Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adendum: Permohonan gag order diteruskan hingga ada arahan lain - AGC
Diterbitkan:  Jan 16, 2025 3:07 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneruskan permohonan mendapatkan perintah mahkamah bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan titah adendum yang mengarahkan Najib Razak menghabiskan baki hukuman penjara di rumah.

Menurut laporan Berita Harian hari ini, peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan berkata permohonan mendapatkan perintah larangan (gag order) itu akan diteruskan sehingga ada arahan sebaliknya.

Terdahulu, Shamsul pada 13 Jan lalu memberitahu media, pihaknya akan memfailkan permohonan berkenaan pada 20 Januari depan dengan alasan untuk melindungi institusi diraja.

Pada 14 Jan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata tidak sepatutnya ada perintah larangan membincangkan semakan kehakiman berkaitan titah adendum berkenaan.

Tiada arahan kabinet

Semalam, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil mengesahkan bahawa kabinet tidak membincangkan keputusan AGC untuk mendapatkan perintah larangan mengenai perkara itu.

"Tidak dibincangkan. Kabinet tidak mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC)," katanya.

Ini menyebabkan naib presiden MCA Lawrence Low mempersoalkan apakah kerajaan menyembunyikan sesuatu berhubung tindakan AGC itu dan menegaskan langkah itu bertentangan dengan pendirian kerajaan sebelum ini dalam memperjuangkan ketelusan.

Permohonan perintah larangan itu dikemukakan oleh AGC di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 Jan.

Peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee mengesahkan bahawa AGC memaklumkan perkara itu semasa pengurusan kes di hadapan hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS