Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu mahu kekal letak calon di 18 kerusi dalam PRN Sabah
Diterbitkan:  Jan 16, 2025 2:56 PM
Dikemaskini: 6:56 AM

Bersandarkan pencapaian sebelum ini serta digabungkan dengan slogan Kasi Bagus Sabah, parti Bersatu dilaporkan bakal bertanding di 18 kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin juga berkata dia yakin mampu melakar kejayaan lebih baik berbanding apa yang dicapai pada PRN 2020 lalu.

Katanya dalam PRN sebelum ini Bersatu - yang mewakili PN - meletakkan calon di 18 kerusi dan mampu memenangi 11 daripadanya, sekali gus menunjukkan peluang cerah buat mereka pada masa ini.

“Dengan masa terhad yang ada pada masa itu (2020), kita (Bersatu) berjaya memenangi 11 kerusi.

"Sekarang dengan kerja lapangan yang dijalankan sejak lima tahun lalu, kita berada dalam keadaan lebih bersedia," katanya seperti dilaporkan portal berita Borneo Post Online hari ini.

Hamzah dipetik media selepas menghadiri program Jelajah Sabah Bersatu di Sepanggar semalam. Turut hadir Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee dan ahli majlis pimpinan tertinggi parti itu, Saifuddin Abdullah.

Kali terakhir Sabah mengadakan PRN ialah pada 26 Sept 2020 dalam insiden yang tercetus daripada cubaan menjatuhkan kerajaan negeri yang ketika itu diketuai Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah memiliki 73 kerusi. Keputusan PRN berkenaan menyaksikan Mohd Shafie tersingkir daripada jawatan ketua menteri. Tempat itu diisi Hajiji Noor yang ketika itu bertanding atas tiket Bersatu-PN.

Pada 10 Nov lalu Hajiji dilaporkan berkata Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menjadi kerajaan negeri mempunyai tempoh sehingga Okt ini sebelum DUN terbubar untuk membuka jalan kepada PRN.

Menurut Hamzah, berdasarkan kepada sambutan yang dilihatnya di Sepanggar semalam, dia yakin Bersatu-PN benar-benar bersedia menempuh PRN akan datang.

Dalam ucapannya di majlis itu Hamzah turut mengkritik kerajaan Hajiji yang dianggapnya cenderung bekerjasama dengan PKR dan DAP.

"Kita tetap terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang berkongsi wawasan dan nilai kepimpinan kita.

"Matlamat kita ialah memastikan Kasi Bagus Sabah bukan sekadar slogan tetapi sebaliknya menjadi realiti," katanya.

Hamzah juga memberitahu, Ronald sudah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan beberapa pihak yang dilihat berpotensi untuk bekerjasama dengan mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS