Mahkamah Anak Negeri Keningau akan mengeluarkan saman terhadap pereka grafik Fahmi Reza bagi menuntut pampasan berhubung karikaturnya yang menggambarkan Yang di-Pertua negeri Sabah, Musa Aman sebagai individu paling korup di negeri itu.
Mahkamah menganggap karikatur itu sebagai satu penghinaan serius kepada Musa dan rakyat Sabah, khususnya masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM).
Ibu Musa berketurunan Dusun dan berasal dari Keningau.
Memetik laporan Borneo Post, Ketua daerah Bingkor, Daniel Palangi berkata keputusan itu dibuat sebulat suara semasa mesyuarat khas antara ketua daerah dan ketua-ketua kampung.
Saman itu bertujuan menuntut sogit (pampasan adat) daripada Fahmi kerana bukan sahaja mencemarkan imej Musa tetapi juga menghina maruah rakyat Sabah.
Musa dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah berkuat kuasa pada 1 Jan lalu.
Bekas ketua menteri Sabah itu sebelum ini menghadapi 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram tetapi akhirnya dibebaskan.
Karikatur yang dilakar Fahmi memaparkan Musa memakai tengkolok rasmi sebagai Yang di-Pertua Sabah, sambil memegang wang kertas RM100 di mulutnya.
Versi awal karikatur itu turut memaparkan kata-kata “Perasuah Nombor Satu Sabah”.
Menurut hantaran di media sosialnya, Fahmi menampal poster itu di dinding Kompleks Asia City di Kota Kinabalu pada 27 Disember namun ia diturunkan beberapa jam kemudian.
Ekoran daripada itu Fahmi ditahan pada petang 30 Disember untuk disiasat sebelum dibebaskan daripada tahanan reman di lokap polis Sabah dan dihantar kembali ke Semenanjung pada petang Selasa, beberapa jam sebelum perintah tahanan remannya tamat.