Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembantu kedai makan mengaku tak salah langgar mati 3 warga Pakistan
Diterbitkan:  Jan 16, 2025 2:14 PM
Dikemaskini: 6:14 AM

Seorang pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan atas tiga pertuduhan menyebabkan kematian tiga lelaki Pakistan yang dalam perjalanan menunaikan solat sunat Aidilfitri, tahun lepas.

Mohd Azizol Bashed, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Dia didakwa memandu Proton Iswara di bawah pengaruh dadah yang menyebabkan tidak berdaya mengawal kenderaan tersebut dengan sepatutnya, sehingga menyebabkan kematian Khan Adil, Muhammad Zahir dan Shayan Muhammad.

Perbuatan itu didakwa dilakukan Mohd Azizol kira-kira jam 8.10 pagi di Kilometer 16 Jalan Teluk Intan - Bidor dalam pada 10 April 2024.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tujuh hingga 10 tahun dan denda RM30,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Mohd Azizol juga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berasingan menyebabkan kecederaan tiga lagi lelaki warga Pakistan lain iaitu Khan Yaseen, Khan Saleem dan Kamran Ali.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh pada tarikh dan masa yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tujuh tahun hingga 10 tahun dan denda RM30,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan pendakwa raya Izzuddin Fakri Hamdan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan memohon semua jenis lesen milik tertuduh digantung sehingga kes selesai kerana ia melibatkan kepentingan awam dan menyebabkan kematian.

Sementara itu peguam Aliff Aiman Rusli memohon jaminan yang minimum kerana tertuduh bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM50 sehari.

Tertuduh juga, kata peguam terbbabit, menanggung ibu yang berusia 72 tahun.

Majistret Naidatul Athirah Azman kemudian menetapkan jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta menggantung lesen tertuduh bermula dari tarikh pertuduhan sehingga kes selesai.

Hakim turut menetapkan tarikh sebutan semula kes ialah pada 19 Feb.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS