Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerani bank didakwa pecah amanah akaun masjid
Diterbitkan:  Jan 16, 2025 1:58 PM
Dikemaskini: 5:58 AM

Seorang kerani bank hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas pertuduhan pecah amanah wang akaun sebuah masjid berjumlah RM115,900 pada tiga tahun lalu.

Mohd Abd Rahman Hamzah, 41, didakwa sebagai seorang kerani tingkatan biasa yang diamanahkan wang dalam akaun milik Masjid Kampung Paya, melakukan pecah amanah dengan menjadikannya untuk kegunaan sendiri.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukannya antara 23 Mac hingga 26 Julai 2022 di Bank Rakyat cawangan Kuala Nerang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan pendakwa raya Nurul Atikah Ab Rashid mencadangkan jaminan RM60,000, namun peguam bela, Ilyana Syafiqa Md Saad, memohon jaminan lebih rendah atas alasan tertuduh menanggung keluarga.

Hakim Mazdi Abdul Hamid kemudian membenarkan Mohd Abd Rahman diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Dia juga diarah melapor diri setiap bulan di balai polis serta menyerahkan pasport kepada pihak berkuasa. Mazdi kemudian menetapkan 16 Feb ini untuk sebutan semula kes.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS