Paling Popular
Terkini

BICARA 1MDB l Bekas perdana menteri Najib Razak memberi keterangan bahawa dia pernah bersemuka dengan ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) mengenai gaya hidup mewah dan bermegah-megahnya pada tahun 2015.

Najib yang juga bekas menteri kewangan memberitahu Mahkamah Tinggi di Putrajaya hari ini bahawa banduan yang kini melarikan diri itu mendakwa pembelian mewahnya adalah bagi pihak adik kepada Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan.

Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan

Najib berkata demikian semasa perbicaraan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram 1MDB bernilai RM2.27 bilion terhadapnya. Dia ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam jika dia sedar tentang gaya hidup mewah Low yang dilaporkan oleh media asing.

Mustaffa merujuk kepada laporan media dan gambar-gambar Low berpesta bersama antaranya, personaliti seperti Paris Hilton serta artikel tentang pembelian hartanah dan lukisan mewah ahli perniagaan itu di luar negara.

Mustaffa: Datuk Seri ketika itu sedar mengenai reputasi Jho Low?

Najib: Ya, saya pernah bersemuka mengenai perkara ini, dan dia berulang kali cakap ia untuk Sheikh Mansour. Dia kata tidak, tidak , saya buat pembelian ini untuk Sheikh Mansour.

Mustaffa: Tidakkah berita itu menimbulkan kebimbangan kepada Datuk Seri mengenai urusannya (Low)?

Najib: Sudah tentu perkara bukan sesuatu yang saya akan benarkan. Sebab itu, saya bersemuka, tetapi dia kata dia melakukannya untuk Sheikh Mansour.

Bekas perdana menteri itu berkata dia ketika itu berasa tidak selesa dan tidak bersetuju dengan gaya hidup Low, tetapi masih bergantung kepada ahli perniagaan tersebut kerana dakwaan hubungan peringkat tingginya dengan pegawai Asia Barat.

Apabila Mustaffa menyoal jika Najib pada tahun 2015 berdepan dengan Low mengenai penglibatan dalam 1MDB, tertuduh berkata beliau menegur dengan ahli perniagaan tersebut yang menjawab ia berkaitan dengan Sheikh Mansour.

Najib juga tidak bersetuju dengan cadangan Mustaffa bahawa dia gagal menyiasat aktiviti Low, walaupun selaku perdana menteri beliau dan adalah pegawai tertinggi dalam kerajaan.

Mustaffa: Datuk Seri bersetuju bahawa dari semasa ke semasa, Jho Low muncul dalam berita atas pelbagai sebab?

Najib: Ya.

Mustaffa: Adakah Datuk Seri mengetahui gambar Jho Low bersama Paris Hilton?

Najib: Saya tahu dia terbabit dalam beberapa acara publisiti, walaupun saya mungkin tidak biasa dengan artikel ini, tetapi saya sedar dia menerima publisiti yang tidak wajar.

Mustaffa: Datuk Seri adalah pihak berkuasa tertinggi di Malaysia. Datuk Seri berada dalam kedudukan untuk mendedahkan kebenaran, tetapi memilih untuk tidak melakukannya.

Najib: Saya tidak bersetuju.

Mustaffa: Pada masa itu, Datuk Seri menutup mata keranat idak mahu mengetahui perkara yang nyata.

Najib: Tidak. Saya tidak bersetuju. Saya bersemuka dengannya kerana saya tidak selesa dengan keadaan itu.

Semalam, Najib memberi keterangan bahawa dia menggunakan khidmat Low untuk manfaat ekonomi dan kewangan Malaysia. Justeru, ahli perniagaan tersebut menemani pegawai khasnya ketika itu, Amhari Efendi Nazaruddin, ke China untuk menyemak sama ada negara tersebut berminat menjalankan projek infrastruktur di Malaysia.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Najib diarahkan untuk membela diri atas empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana RM2.27 bilion daripada 1MDB.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berhubung syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) itu.

Hakim memutuskan bahawa Najib perlu menjawab tuduhan tersebut berdasarkan kekuatan keterangan 50 saksi dalam peringkat pendakwaan yang berlangsung selama enam tahun sejak perbicaraan bermula pada 2019. Tertuduh pertama kali didakwa pada 2018.

Sejak keputusan prima facie itu, Najib telah memberi keterangan membela diri terhadap tuduhan jenayah 1MDB.

Tertuduh mengekalkan bahawa dia tidak mengetahui sebarang kesalahan di 1MDB dan mendakwa Low serta ahli pengurusan adalah dalang penyelewengan dana tersebut.

Dia juga bergantung kepada pembelaan bahawa dirinya percaya akan menerima derma daripada kerabat Arab atas sumbangannya kepada dunia Islam.

Peguam Tania Scivetti mewakili Najib.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS