Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengulangi pendiriannya akan mendedahkan penemuan daripada pasukan petugas khas yang ditubuhkan susulan kematian pakar patologi, Dr Tay Tien Yaa di Hospital Lahad Datu pada 29 Ogos lalu.
Menterinya, Dzulkefly Ahmad berkata laporan itu akan didedahkan kepada umum selepas laporan siasatan dibentang kepada barisan jemaah menteri dalam masa terdekat.
"Saya telah membuat janji dan pastinya laporan terakhir pasukan petugas khas bebas akan dibentang kepada umum.
"Cuma satu sahaja saya ingin beritahu, keluarga mendiang telah meminta diberi penjelasan dan penerangan sebelum mendedahkan hasil siasatan kepada umum.
"Saya pasti akan memenuhi permintaaan keluarga sebelum saya mendedahkan kepada umum, saya berjanji, kami akan bersikap telus," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini ketika.
diminta mengulas maklumat terbaru mengenai siasatan tersebut.
Sebelum ini, pada 2 Okt lalu, menteri itu mengumumkan bahawa pasukan petugas khas yang menganalisis input daripada siasatan terhadap kematian Dr Tay, juga akan mengkaji budaya kerja di Hospital Lahad Datu.
Pasukan petugas yang diketuai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Borhan Dollah itu dibantu lima anggota bebas yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan, psikiatri, patologi, kesihatan mental dan kes buli.
Berikutan kematian Dr Tay pada 29 Ogos, keluarganya mendakwa dia membunuh diri akibat tekanan dan menjadi mangsa buli.
Pasukan petugas itu diberi tempoh tiga bulan mulai 10 Okt untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan buli di tempat kerja, yang dipercayai menyebabkan pegawai perubatan itu membunuh diri.
Sementara itu, Dzulkefly berkata beliau menjangka laporan berkenaan akan didedahkan pada Feb tahun ini.
"Pasukan petugas telah pun menyerahkan laporan akhir kepada saya. Saya akan membawa laporan itu berbincang di jemaah menteri, seterusnya saya akan membuat pembentangan dalam mesyuarat pasca kabinet.
"Saya jangka akan mendedahkan laporan dalam Feb. Sejurus, saya mendapat pengesahkan daripada kabinet. Saya minta semua pihak harap bersabar," katanya.