Walaupun seseorang atau syarikat pembekal mungkin mempunyai sijil halal bagi ramuan produknya, keadaan itu tidak secara automatik melayakkan produk berkenaan disahkan halal.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sirajuddin Suhaimee tiada produk atau perkhidmatan boleh dilabel halal melainkan ia telah disahkan pihak berkuasa pensijilan halal Malaysia.
“Penggunaan sijil halal pembekal tidak melayakkan sesuatu produk diperakui halal.
“Ini kerana sesuatu produk hanya boleh diperakui halal oleh pihak berautoriti setelah memenuhi piawaian dan prosedur pensijilan halal Malaysia yang merangkumi aspek pengendalian, penyediaan, dan pemprosesan secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan media.
Kenyataan itu sebagai respon terhadap kenyataan syarikat pengeluar produk sandwic yang menjadi kontroversi mengenai status halal dan pengguna logo halal yang tidak diiktiraf.
Isu itu bermula pada 10 Jan apabila kumpulan pelajar yang dikaitkan dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menyiarkan video membangkitkan kebimbangan mengenai “ham and cheese sandwic” dijual di cawangan KK Mart di Universiti Malaya.
Semalam Malaysiakini melaporkan Syarikat Shake and Bake Cafe Sdn Bhd berkata bahan digunakan untuk produk ham and cheese sandwic itu menggunakan ramuan yang mempunyai sijil halal.
Syarikat itu kemudian berkongsi salinan sijil Jakim untuk produk didaftarkan atas nama “Chicken Sandwich/ Ayam Sandwic” dan “Emborg burgers slices coloured” bagi kelulusan halal dari Austria.
Selain sijil untuk ramuan digunakan, syarikat itu bagaimanapun tidak mengulas mengenai pengesahan Jakim bahawa produk akhir mereka menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf.
Jakim sekali lagi bahawa pemeriksaan yang dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 10 Jan lalu mendapati, produk ‘ham and cheese sandwich berkenaan bukan sahaja tidak mempunyai halal, malah syarikat yang menghasilkan produk tersebut juga bukan pemegang Sijil Pengesahan Hlal Malaysia.
Susulan itu, tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 telah diambil oleh pihak KPDN.
“Jakim menggesa pengusaha-pengusaha di luar sana supaya cakna terhadap peruntukan undang-undang yang diguna pakai bagi mengelakkan daripada perkara sebegini berulang,” tambah Sirajuddin.