Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hamas hargai sokongan Malaysia ke atas Gaza
Diterbitkan:  Jan 16, 2025 10:09 AM
Dikemaskini: 2:09 AM

GLOBAL | Ahli Biro Politik Hamas, Khalil al-Hayya, memuji “pendirian terhormat” Malaysia dalam menyokong Palestin semasa konflik yang berterusan, bersama negara lain, lapor Agensi Anadolu (AA).

Bercakap pada sidang media, Khalil melahirkan rasa terima kasih kepada Malaysia, Turkiye, Afrika Selatan, Algeria, Rusia, China dan Indonesia atas solidariti mereka terhadap rakyat Palestin, sambil mengiktiraf sumbangan mereka dalam memberikan sokongan penting ketika saat-saat sukar.

Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman perjanjian gencatan senjata yang diketuai Qatar sebagai perantara dan dijangka berkuat kuasa Ahad ini.

Khalil mengalu-alukan perjanjian itu sebagai perkembangan positif tetapi mengkritik “keganasan dan pencerobohan sengit” yang dilakukan oleh pendudukan Israel, menyifatkannya sebagai antara krisis kemanusiaan terburuk dalam sejarah moden.

“Pada saat kritikal ini, kami menyampaikan kata-kata kebanggaan dan penghormatan kepada rakyat kami di Gaza,” katanya.

Dia juga menambah, rakyat Palestin “tidak akan melupakan pihak yang menyumbang kepada penderitaan mereka.”

Gencatan senjata yang diumumkan Perdana Menteri Qatar Mohammed Abdulrahman akan berlangsung selama 42 hari bagi fasa pertama.

Lapor AA, melalui perjanjian itu 33 tahanan Israel akan dibebaskan sebagai pertukaran dengan jumlah tahanan Palestin yang tidak dinyatakan.

Perjanjian itu yang turut diusahakan oleh Qatar, Mesir dan AS termasuk mekanisme untuk memastikan pematuhan dan menangani sebarang kemungkinan pelanggaran.

- Bernama/AA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS