Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari hari ini mencabar kepimpinan DAP untuk menjawap mengenai ketiadaan pengerusi parti itu, Lim Guan Eng, dalam barisan kabinet pimpinan Anwar Ibrahim.
Menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini, ahli parlimen Pasir Mas itu mempersoalkan jika Lim yang sebelum ini adalah juga setiausaha agung DAP selama dua penggal tidak layak.
“Terlanjur bicara hal ini, saya juga ingin bertanya, kenapa pemimpin hebat DAP iaitu YB Bagan yang juga pengerusi kebangsaan DAP tiada dalam kabinet PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim)?
“Beliau tidak layakkah? Atau pengerusi kebangsaan DAP itu jawatan yang kecil di sisi DAP?
“Alang-alang tepi kain kita dijaga orang, apa salahnya kita pun bertanya hal tepi kain orang lain,” katanya.
Untuk rekod, Lim pernah dilantik sebagai menteri kewangan di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketika Pakatan Harapan (PH) berkuasa pada 2018. Dia memegang jawatan setiausaha agung selama dua penggal dan perlembagaan parti mensyaratkan seseorang tidak boleh dilantik untuk tempoh melebihi dua penggal.
Ahmad Fadhli membuat sindiran itu semasa menjelaskan isu calon perdana menteri daripada Perikatan Nasional (PN) yang dibangkitkan oleh anggota Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Menurutnya, kenyataan pemimpin Bersatu itu yang tidak menamakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebagai salah seorang calon PN, bukan isu besar tetapi hanya satu cadangan.
“Isu calon perdana menteri bagi menggantikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang disebut oleh YB Machang itu hanyalah satu cadangan.
“Soal tidak disebut Presiden PAS itu pun bukan satu isu besar memandangkan beliau dari Bersatu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ahmad Fadhli berkata apabila Wan Ahmad Fayhsal menamakan beberapa pemimpin PAS itupun sudah merupakan satu penghormatan.
Dia mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang meluahkan rasa pelik dengan perkara itu, setelah Wan Ahmad Fayhsal menyenaraikan empat nama tanpa menyebut nama presiden PAS itu.
“Adakah Wan Ahmad (Fayhsal) fikir Abdul Hadi tak layak, atau sebenarnya ada isu antara PAS dan Bersatu yang buat nama Hadi tak disenaraikan?” soalnya.
Malaysiakini pagi ini melaporkan Wan Ahmad Fayhsal sebagai berkata PN tidak mempunyai masalah mencari perdana menteri menjelang pilihan raya umum akan datang.
Anggota parlimen Machang itu menamakan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, timbalannya Hamzah Zainudin, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan naib presiden parti itu Ahmad Samsuri Mokhtar.
Wan Ahmad Fayhsal berkata pemimpin-pemimpin itu mempunyai hubungan yang baik dengan istana.
Kenyataan itu diberikan sebagai reaksi sebagai kenyataan Murysidul Am PAS Hashim Jasin bahawa “PAS patut memimpin PN” ketika ditanya sama ada parti itu sedia mengetengahkan calon perdana menteri.