Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan kes Na'imah rujuk kesahihan tuduhan 18 Feb
Diterbitkan:  Jan 15, 2025 6:02 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 18 Feb depan untuk keputusan permohonan isteri bekas menteri kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin bagi merujuk persoalan undang-undang mengenai kesahihan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pasukan pembelaan yang mewakili Toh Puan Na’imah Abdul Khalid selaku pemohon dan pihak pendakwaan sebagai responden.

“Mahkamah menetapkan keputusan permohonan itu pada 18 Feb, 10 pagi,” katanya.

Pada 29 Feb tahun lepas, Na’imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang membabitkan Seksyen 30 (5), Seksyen 36 (2) dan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 ke Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Na’imah berkata seksyen-seksyen tersebut mungkin melanggar Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Peruntukan itu melanggar hak anak guam untuk dilindungi daripada membabitkan dirinya dengan suatu kesalahan dan hak untuk tidak dipaksa memberikan keterangan membabitkannya dalam suatu kesalahan yang akan digunakan dalam suatu prosiding selain hak untuk perbicaraan yang adil.

“Oleh itu, isu perlembagaan ini boleh dipertikaikan dan bukan bersifat remeh. Justeru, pihak kami mohon agar mahkamah membenarkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi bagi pertimbangan lanjut sama ada isu ini wajar dirujuk ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata pihaknya membantah permohonan tersebut kerana ia tidak bermerit, remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

“Pemohon telah gagal memenuhi kehendak di bawah Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman dan isu yang ingin dirujuk oleh pemohon bukan melibatkan isu perlembagaan. Sehubungan itu, kami mohon mahkamah menolak permohonan tersebut,” katanya.

Pada 23 Jan tahun lepas, Na'imah, 67, didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham, serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36 (2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS