Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akmal sekolahkan Nga, ham merujuk daging babi
Diterbitkan:  Jan 15, 2025 5:45 PM
Dikemaskini: 10:38 AM
1

Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh menegaskan ‘ham’ adalah merujuk kepada daging babi, bukannya proses pembuatan makanan seperti didakwa menteri DAP, Nga Kor Ming.

Akmal meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu memahami maksud sebenar ham sebelum membuat kenyataan yang melulu.

"Bila ada menteri beritahu ‘ham’ bermaksud proses untuk membuat makanan, maka saya sertakan sekali di sini apakah maksud ham dari Oxford Learners’s Dictionary. Ham bermaksud daging yang datangnya dari babi.

"Jika daging itu datangnya dari sumber selain dari babi, ia mesti disertakan sumbernya di depan dahulu. Seperti daging lembu, maka ia disebut ‘beef ham’, jika daging ayam, maka ia disebut 'chicken ham',” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Nga yang juga ahli parlimen Teluk Intan membidas pihak yang didakwa mensensakikan isu sandwic ham yang dijual di KK Mart di kampus Universiti Malaya (UM) dengan menggunakan logo halal palsu.

Nga Kor Ming

Jelas Nga dalam satu hantaran di X, ‘ham’ hanya merujuk kepada daging yang telah diawet.

“Kita ada ham ayam belanda dan ham ayam, yang sesuai untuk dimakan. Begitu juga dengan root beer, yang dibuat daripada akar sassafras yang tidak mengandungi alkohol dan baik untuk diminum.

“Menjadikan perkara ini sebagai isu hanya menunjukkan siapa sebenarnya yang bodoh,” tulisnya.

Mengulas lanjut, Akmal berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara itu.

"Dalam SOP yang dikeluarkan oleh Jakim untuk permohonan halal, mana-mana makanan yang namanya seperti makanan yang tidak halal seperti ham, tidak boleh diberikan sijil halal.

"Namun, kalau chicken ham, beef ham, ia dibenarkan dengan tujuan mengelakkan kekeliruan.

"Ham bukan bermaksud proses untuk buat makanan ya, kalau tak faham tanya pegawai atau boleh buka kamus," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS