Kementerian Pertahanan Malaysia menafikan dakwaan yang tersebar mengenai pemberhentian panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pegawai-pegawai tertinggi pasukan keselamatan itu disebabkan kontrak helikopter RM16 bilion.
"Kementerian Pertahanan Malaysia mengambil serius berkenaan kenyataan yang sedang tular di media sosial berkenaan dakwaan pemberhentian Panglima Angkatan Tentera (PAT), Panglima Tentera Darat (PTD), Panglima Tentera Laut (PTL) dan Panglima Tentera Udara (PTU) serta pertukaran pegawai-pegawai tertinggi ATM disebabkan oleh kontrak helikopter RM16 Bilion.
"Susulan itu, Kementerian Pertahanan dengan ini menafikan kebenaran kenyataan berkenaan dan mengesahkan bahawa tiada saling perkaitan antara pemberhentian atau pertukaran panglima-panglima ATM dengan proses pajakan helikopter seperti yang dihebahkan.
"Justeru, masyarakat dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan berita yang tular di media sosial kerana ia boleh membentuk persepsi negatif kepada pertahanan negara yang boleh menggugat keamanan," kata kementerian itu dalam kenyataan media, hari ini.
Difahamkan dakwaan itu disebar melalui platform TikTok yang mengaitkan semua panglima ATM ditamatkan perkhidmatan susulan kontrak helikopter bernilai RM16 bilion.
Susulan itu Kementerian Pertahanan Malaysia membuat laporan berita palsu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"Laporan polis juga telah dibuat sebagai tindakan untuk memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas pihak yang menghebahkan maklumat palsu.
"Adalah ditegaskan bahawa menyebarkan berita palsu adalah merupakan kesalahan undang-undang yang boleh didakwa, antara lain di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998," kata kenyataan itu.
Semalam Malaysiakini memetik sumber berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka bakal mempunyai ketua baru tidak lama lagi.
Difahamkan Majlis Angkatan Tentera mengadakan mesyuarat minggu lalu untuk memutuskan panglima baru ATM yang akan menggantikan Jeneral Mohammad Ab Rahman.
Kontrak perkhidmatan Mohammad dijangka tamat tidak lama lagi.
Nama calon telah dicadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang juga merupakan Pemerintah Tertinggi ATM, untuk mendapat perkenan.
Menteri Pertahanan Khaled Nordin juga menafikan khabar angin penamatan kontrak Mohamad dan para panglima tentera berkaitan isu kontrak helikopter itu.
“Tidak benar,” katanya kepada Malaysiakini semalam.