Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini berkata kabinet belum membincangkan perintah sekatan berkaitan dengan titah adendum yang mengarahkan Najib Razak menghabiskan baki hukuman penjara di rumah.
"Tidak dibincangkan. Kabinet tidak mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC)," katanya pada sidang media di kementeriannya di Putrajaya, hari ini.
Pada 13 Jan, peguambela Najib memaklumkan bahawa AGC sedang mendapatkan perintah sekatan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung isu titah adendum itu.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said berkata tidak sepatutnya ada perintah sekatan membincangkan semakan kehakiman berkaitan titah adendum berkenaan.
Susulan itu, Naib Presiden MCA Lawrence Low awal hari ini bertanya sama ada kerajaan menyembunyikan sesuatu berhubung tindakan AGC, mengatakan bahawa langkah itu bertentangan dengan pendirian kerajaan sebelum ini dalam memperjuangkan ketelusan.
Sementara itu, Fahmi berkata kabinet juga tidak membincangkan kontroversi semasa berkaitan sandwic ham dan keju yang didakwa menggunakan logo halal tanpa pensijilan sah.
"Kami juga tidak dihidangkan sandwic hari ini," katanya.
KK Mart baru-baru ini menjadi tumpuan kontroversi sekali lagi selepas aduan mengenai sandwic ham dan keju dijual di beberapa kedai yang mempunyai logo halal.
Pengkritik telah mempersoalkan bagaimana produk ham - dengan anggapan ia adalah daging babi - boleh dilabel sebagai halal.
KK Mart kemudian menjelaskan bahawa sandwic - keluaran Shake and Bake Cafe Sdn Bhd - menggunakan ham ayam yang disahkan halal.
Bagaimanapun, pihak berkuasa mendapati Shake and Bake Cafe tidak mempunyai pensijilan halal untuk sandwic itu atau kemudahan pembuatannya.