Nurul Hidayah, anak kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan pelantikan dirinya menganggotai lembaga pengarah di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Katanya, dirinya sebagai seorang alumni yang aktif memberi kelayakan kepadanya untuk dilantik sebagai ahli lembaga pengarah UPM.
"Saya seorang alumni UPM yang aktif. Ibarat sireh pulang ke gagang. Saya alumni UPM 2002. Selepas 24 tahun saya kembali ke UPM untuk berkhidmat.
"Niat saya tidak tersasar dari mana-mana tuduhan tidak berasas yang mempertikaikan kelayakan saya dan kedudukan saya yang kebetulan anak TPM.
"Saya orang biasa sama seperti orang lain yang bekerja dan ingin membantu orang atas kapasiti kecil saya sebagai mantan mahasiswa UPM," katanya kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas pelantikannya sebagai ahli lembaga pengarah UPM bermula dari 2 Jan 2025 hingga 1 Jan 2028.
Kata Nurul dia gembira dengan pelantikannya itu kerana dia menolong "lebih ramai anak-anak yang susah."
"Sesuai dengan slogan UPM: 'Berilmu, Berbakti'.
"Saya akan gunakan 'tiket' alumni untuk menggalakkan mantan-mantan mahasiswa UPM (Alumni) untuk bantu UPM sumbangkan tenaga atau dana bagi menampung kos pengajian anak-anak orang susah yang berkelayakan untuk masuk belajar ke UPM," katanya lagi.
Sebelum ini, pelantikan itu telah mencetuskan kritikan, termasuk ejekan daripada artis grafik Fahmi Reza yang mempertikai kelayakan Nurul dengan mengaitkan bapanya Zahid.
Sementara itu, Presiden Gerakan Dominic Lau berkata pelantikan Nurul membuktikan PH langsung tiada keazaman untuk mereformasi pelantikan politik.
Dalam perkembangan sama, Kesatuan Kakitangan Am UPM (Kepertama) hari ini menyambut baik pelantikan Nurul berkata pihaknya tidak mahu terjebak dengan polemik politik seputar isu pelantikan anak Zahid ke jawatan itu.
Menurut kesatuan pekerja itu, fokus utama pihaknya untuk memastikan pelantikan Nurul membawa manfaat kepada universiti, pelajar, dan kakitangan.