Beberapa undang-undang, antaranya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, disaran supaya disemak semula bagi menyediakan garis panduan yang jelas dan khusus terhadap akses polis kepada data telefon bimbit.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Lee Lam Thye berkata ini termasuk mentafsirkan jenis-jenis kesalahan yang memerlukan akses sedemikian, prosedur khusus yang perlu diikuti dan tahap pengawasan kehakiman yang diperlukan.
"Kita juga boleh melaksanakan keperluan waran mandatori untuk mengakses data telefon. Kita juga boleh mewujudkan suatu mekanisme bebas untuk mengawasi akses polis kepada data peribadi sebagai lapisan tambahan untuk akauntabiliti dan ketelusan.
"Sesetengah negara Eropah mempunyai undang-undang yang jelas dan tegas yang memerlukan waran dan syak wasangka melakukan aktiviti jenayah sebelum polis boleh mengakses data telefon mudah alih. Kita boleh mengkaji kaedah mereka tetapi terdapat juga negara lain melaksanakan yang sebaliknya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Lee berkata Malaysia boleh mengkaji kebaikan dan keburukan kaedah-kaedah tersebut dan mengambil langkah yang bersesuaian dengan aspirasi, cabaran dan hala tuju masa depan negara.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain pada Isnin berkata polis mempunyai hak untuk memeriksa telefon bimbit orang awam sekiranya ada syak wasangka atau maklumat berhubung seseorang disyaki melakukan kesalahan.
Lee berkata Razarudin telah memberikan beberapa garis panduan tentang keadaan seseorang pegawai polis boleh memeriksa telefon bimbit individu dan telah memberikan jaminan bahawa akan ada keseimbangan antara menyiasat jenayah dengan melindungi hak privasi orang awam.
"Beliau telah menyebut Kanun Prosedur Jenayah, Akta Rumah Judi 1953, Akta Polis dan Akta Komunikasi dan Multimedia sebagai contoh statut yang memberi penguat kuasa tanggungjawab dan kuasa untuk menyiasat aktiviti jenayah.
"Namun, seperti kebiasaan, beberapa lakuna boleh wujud, kelompangan dalam sistem perundangan yang menjadikan sesuatu situasi tanpa undang-undang atau peraturan yang khusus. Mencapai keseimbangan antara penguatkuasaan undang-undang dan privasi individu merupakan cabaran yang rumit. Satu daripadanya, terdapat potensi untuk penyalahgunaan kuasa," katanya.
Lee berkata kelemahan yang ada perlu diatasi dengan mengukuhkan kerangka perundangan, meningkatkan kesedaran orang awam dan menangani isu spesifik untuk mewujudkan suatu sistem yang melindungi kebebasan orang awam dan individu.
Beliau berkata usaha itu membabitkan kerjasama kerajaan, penguat kuasa undang-undang, pakar perundangan dan organisasi bukan kerajaan (NGO).