Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kesatuan Kakitangan Am UPM (Kepertama) menyambut baik pelantikan Nurul Hidayah anak kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi sebagai ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM).

Presiden Kepertama Norsyahriman Md Arif berkata dia tidak mahu terjebak dengan polemik politik seputar isu pelantikan anak Zahid ke jawatan itu.

Menurutnya, fokus utama kesatuan pimpinannya untuk memastikan pelantikan ini membawa manfaat kepada universiti, pelajar, dan kakitangan.

“Sebagai kesatuan kita dengan UPM kita tak mahu campur urusan politik dalam negara secara terus. Maksudnya, utama kita adalah untuk memberikan perkhidmatan kepada majikan kita dan selanjutnya kepada kerajaan.

"Maksudnya dalam konteks government of the day. Walaupun kita mendapat maklum kecaman-kecaman daripada netizen tapi macam yang saya cakap tadi, kita mengharapkan hal-hal politik ini biarlah ahli politik yang uruskan,” katanya kepada Malaysiakini .

Jelas Norsyahriman, pelantikan Nurul Hidayah selaku alumni UPM memberikan kelebihan tersendiri.

“Kita tak lihat pelantikan Datuk Nurul Hidayah daripada aspek politik. Kita lihat daripada aspek Datuk Nurul Hidayah mampu untuk memberikan sumbangan bermakna kepada staff UPM.

"Datuk merupakan alumni UPM. Kita rasa UPM ini bukan bumi yang asing untuk datuk. Sebelum ini pun ada pelajar-pelajar yang telah dibantu oleh Datuk (Nurul).

"Tapi bila sudah berada di posisi ahli Lembaga Pengarah UPM, kesatuan kakitangan UPM harapkan bukan sahaja pelajar tapi ramai juga staff-staff khususnya dalam kumpulan pelaksana yang memerlukan perhatian daripada sudut atau aspek kebajikan,” jelasnya.

Semalam Presiden Gerakan Dominic Lau (gambar atas) membidas PH susulan pelantikan Nurul, berkata isu ini membuktikan PH langsung tiada keazaman untuk mereformasi pelantikan politik.

Menurut surat pelantikan yang didakwa ditandatangani oleh Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abd Kadir, tempoh perkhidmatan Nurul Hidayah sebagai ahli lembaga pengarah UPM akan bermula dari 2 Jan 2025 hingga 1 Jan 2028.

Surat itu menyatakan bahawa pelantikan Nurul mewakili "komposisi berpengetahuan dan berpengalaman" mengikut Subseksyen 18(1) perlembagaan UPM.

Pelantikan itu turut mengundang kritikan, terutamanya daripada aktivis kontroversi Fahmi Reza, yang mengejek tindakan itu dengan "resume" satira Nurul Hidayah.

Resume olok-olok yang dikongsikan di media sosial Fahmi itu memaparkan nama Nurul, foto dan gelaran “Anak Zahid Hamidi”.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS