Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belum masa putuskan calon PM buat PN, kata Tun Faisal

Ketika pemimpin PAS masih memperkatakan tentang calon perdana menteri daripada partinya, Bersatu bagaimanapun dilihat memilih untuk ‘menarik rambut di dalam tepung’.

Tidak melatah dengan perbincangan mengenai perkara itu, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz sebaliknya berkata, belum masanya untuk PN memutuskan siapa calon perdana menteri mereka.

Malah jelasnya, ia tidak akan dibincangkan secara terbuka.

“Bila tiba masanya ia akan diputuskan secara musyawarah oleh kepimpinan tertinggi setiap parti di dalam PN,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Semalam Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dalam satu wawancara memaklumkan bahawa PAS seharusnya memimpin gabungan pembangkang, merujuk kepada kekuatan politiknya berbanding Bersatu.

Hashim dipetik media tempatan berkata tiada perbincangan antara PAS dan Bersatu mengenai calon perdana menteri PN.

Menurutnya pengumuman baru-baru ini oleh seorang pemimpin Bersatu yang menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri PN dibuat tanpa merujuk kepada PAS.

Ahli akar umbi PAS, kata Hashim lagi meletakkan harapan tinggi untuk melihat parti itu memimpin negara, memandangkan sokongan yang lebih luas yang mereka terima berbanding Bersatu.

Bagaimanapun, Hashim turut menekankan keputusan seperti itu tidak boleh dibuat secara sepihak oleh PAS dan perlu dibincangkan secara mendalam antara parti-parti dalam PN.

Tun Faisal pula berkata apa yang penting dan keutamaan ketika ini adalah bagi memastikan PN kuat dan diyakini.

“Keutamaan ketika ini adalah untuk memastikan PN kuat dan diyakini untuk menggantikan perdana menteri dan kerajaan yang gagal ini sesegera mungkin dan membuat persiapan sebaiknya bagi menghadapi PRU ke-16,” jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS