NGO perundangan, Lawyers for Liberty (LFL) mengecam kenyataan Ketua Polis Negara (IGP) Razarudin Husain baru-baru ini yang berkata, bahawa pihak polis tidak boleh dipersoalkan ketika memeriksa telefon bimbit semasa sekatan jalan raya.
Dalam satu kenyataan, penyelaras pembelaan awam kumpulan itu Yu Ying Ying berhujah bahawa kenyataan sedemikian bukan sahaja menggalakkan tindakan polis yang menyalahi undang-undang tetapi juga cacat dari segi undang-undang dan menimbulkan ancaman kepada kebebasan awam.
“Adalah salah di sisi undang-undang untuk mengatakan tiada siapa boleh mempersoalkan kuasa polis dalam memeriksa telefon.
“Polis tidak boleh memeriksa telefon bimbit orang ramai kecuali dalam siasatan atau pencarian yang sedang dijalankan.
“Pemeriksaan mesti disasarkan kepada individu tertentu yang berkaitan atau dicari dalam lingkungan penyiasatan jenayah, dan mesti ada syak wasangka yang munasabah terhadap penglibatan mereka,” katanya dalam kenyataan itu.
Pemeriksaan rutin 'dilarang'
Razarudin sebelum ini berkata, bahawa pihak polis mempunyai kuasa untuk memeriksa telefon bimbit seseorang berdasarkan syak wasangka yang munasabah.
Dia memetik Seksyen 23(1) dan 116B Kanun Tatacara Jenayah, serta peruntukan daripada Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 serta Akta Polis.
Bagaimanapun, Yu menjelaskan bahawa tiada satu pun peruntukan yang disebut, termasuk Seksyen 3(3) Akta Polis, memberikan hak kepada polis untuk memeriksa telefon bimbit orang ramai semasa sekatan jalan raya.
“Seksyen ini tidak memberi kuasa kepada polis untuk memeriksa telefon bimbit sesuka mereka semasa sekatan jalan raya atau di tempat lain. Pemeriksaan rutin telefon bimbit adalah dilarang oleh undang-undang,” jelasnya.
Yu menegaskan bahawa Seksyen 249 CMA mesti dibaca bersama Seksyen 247 dan 248, yang membenarkan polis memeriksa telefon bimbit hanya semasa pencarian dan apabila mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai kesalahan CMA telah dilakukan.
"Oleh itu, pemeriksaan telefon bimbit oleh polis yang tidak berkaitan dengan 'pencarian' berterusan adalah tidak wajar," jelasnya.
Selain itu, Yu juga berkata bahawa Seksyen 292 Kanun Keseksaan mahupun Seksyen 23(1) Kanun Tatacara Jenayah tidak merujuk kepada kuasa polis untuk menggeledah telefon bimbit individu.
Yu menegaskan bahawa undang-undang yang dipetik oleh IGP tidak menyokong dakwaannya dan mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap hak mereka.
“Polis mesti bertindak hanya mengikut kuasa yang diberikan kepada mereka oleh undang-undang. Jika tidak, tindakan mereka akan menyalahi undang-undang dan tertakluk kepada tindakan undang-undang atau tuntutan di mahkamah untuk ganti rugi.
“Orang ramai berhak enggan mematuhi tuntutan yang menyalahi undang-undang oleh anggota polis,” katanya lagi.