Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu paling lemah, tiada pemimpinnya layak jadi calon PM - Najwan
Diterbitkan:  Jan 15, 2025 12:18 PM
Dikemaskini: 4:48 AM

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal perlu mengakui bahawa parti itu adalah parti paling lemah dalam PN, kata Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Najwan mengulas kenyataan Wan Fayhsal semalam berhubung cadangan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, supaya parti Islam itu memimpin gabungan pembangkang, dengan mengambil kira kekuatan politiknya berbanding Bersatu.

Najwan Halimi

Pemimpin PKR itu berkata Wan Fayhsal perlu mengakui bahawa Bersatu tidak mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi.

"Bukti nyata adalah beliau sendiri yang terpaksa menumpang di kubu kuat PAS iaitu Parlimen Machang dan mengharapkan belas sokongan penyokong PAS untuk menjadi Ahli Parlimen.

"Sehingga hari ini, Bersatu masih dianggap parti yang lemah dalam Perikatan Nasional. Maka tidak hairanlah Wan Ahmad Fayhsal kelihatan terlalu terdesak menjawab kenyataan Mursyidul Am PAS dan mengemukakan nama-nama calon perdana menteri di kalangan pimpinan Bersatu sekadar untuk dilihat relevan,” tambah Najwan.

Kata Najwan, ahli parlimen Bersatu juga terbukti gagal berfungsi sebagai pembangkang yang efektif dan progresif.

"Bahkan Presiden Bersatu (Muhyiddin Yassin) sendiri tiada keberanian untuk mengambil tanggungjawab sebagai ketua pembangkang di parlimen. Barangkali beliau tidak berani berdepan dengan sosok Anwar Ibrahim.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

"Adalah lebih baik Wan Ahmad Fayhsal menasihatkan pimpinan Bersatu supaya memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa dan tidak hanya menjaja retorik dan memainkan sentimen perkauman di parlimen.

"Beliau perlu akui, setakat hari ini Bersatu tiada pemimpin yang memiliki kredibiliti untuk diketengahkan sebagai calon perdana menteri,” katanya.

Bersatu vs PAS

Semalam, Wan Fayhsal berkata parti-parti komponen PN harus berbincang tentang siapa yang harus menjadi calon perdana menteri mereka, dengan menegaskan perkara itu perlu dilakukan secara dalaman.

"Isunya sekarang ini tak perlu kita (bincang terbuka) bagi saya perbincangan tu boleh dibuat tapi dalaman.

"Perlu (bincang), kerana kalau kita tidak bincang kita ada syak wasangka dan perbezaan yang dibawa keluar.

"Benda ini tak perlulah. Tapi saya hormat pandangan Hashim Jasin, tak ada masalah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dia juga menamakan beberapa pemimpin sebagai calon perdana menteri termasuk Muhyiddin dan timbalannya, Hamzah Zainudin.

Terdahulu Hashim berkata pengumuman oleh seorang pemimpin Bersatu baru-baru ini yang menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri PN dibuat tanpa merujuk kepada PAS.

Ahli akar umbi PAS, kata Hashim meletakkan harapan tinggi untuk melihat parti itu memimpin negara, memandangkan sokongan yang lebih luas yang mereka terima berbanding Bersatu.

Namun, Hashim menegaskan keputusan seperti itu tidak boleh dibuat secara sepihak oleh PAS dan perlu dibincangkan secara mendalam antara parti-parti dalam PN.

Untuk rekod, PAS mempunyai 43 kerusi parlimen di Dewan Rakyat berbanding 25 kerusi Bersatu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS