Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KK Mart perlu perketat kawalan, semak mekanisme pembelian, kata MP
Diterbitkan:  Jan 15, 2025 12:11 PM
Dikemaskini: 4:21 AM

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, kemelut roti dan keju menunjukkan bahawa rangkaian kedai serbaneka KK Mart perlu menyemak semula dan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) mekanisme pembelian syarikat tersebut.

Roti itu dihasilkan oleh pihak ketiga yang didakwa menggunakan kedua-dua logo halal dan logo KK Mart secara curang pada bungkusannya.

Lee berkata tidak memadai untuk KK Mart sekadar meletakkan kesalahan kepada pembekal.

Lee Chean Chung

“KK Mart harus segera menyemak semula mekanisme pembelian dalaman syarikat, termasuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pembelian dan mengumumkan keputusan ini kepada orang ramai.

“Sekadar mendakwa pembekal adalah tidak memadai. Sebagai usahawan Malaysia, KK Mart harus menunjukkan teladan sebuah syarikat prihatin yang mempunyai tanggungjawab sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada hujung minggu lalu KK Mart terheret dalam kontroversi sekali lagi susulan aduan mengenai roti ham keju yang dijual di beberapa kedainya yang tertera logo halal.

Pengkritik mempersoalkan bagaimana produk ham - dengan anggapan ia adalah daging babi - boleh dilabel sebagai halal.

KK Mart kemudian menjelaskan bahawa roti berkenaan - keluaran Shake and Bake Cafe Sdn Bhd - menggunakan ham ayam yang disahkan halal.

Bagaimanapun, pihak berkuasa mendapati Shake and Bake Cafe tidak mempunyai pensijilan halal untuk produk sandwic, atau untuk kemudahan pembuatannya.

Walaupun pensijilan halal adalah pilihan, penipuan penggunaan logo halal adalah satu kesalahan jenayah dan syarikat boleh didenda sehingga RM200,000 untuk kesalahan pertama.

Selain itu, KK Mart berkata syarikat itu juga tidak dibenarkan menggunakan logo KK Mart pada pembungkusan dan sedang mengambil tindakan undang-undang.

Insiden itu berlaku tidak sampai setahun selepas KK Mart turut terbabit dalam kemelut isu stokin yang tertera kalimah Allah - yang turut dipersalahkan oleh rangkaian kerdai itu kepada pembekal.

Menyentuh industri halal, Lee berkata ia merupakan sektor ekonomi penting yang disasarkan menyumbang RM137.6 bilion atau 8.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasar tahun ini.

Katanya, industri itu dijangka berkembang kepada RM260 bilion menjelang 2030.

Di peringkat global, dia menegaskan bahawa nilai pasaran perdagangan halal dianggarkan berjumlah AS$2.2 trilion, dengan potensi meningkat kepada AS$9.3 trilion.

“Kecuaian sesetengah perniagaan tempatan boleh merosakkan reputasi Malaysia sebagai peneraju industri halal yang kekal nombor satu dalam Keadaan Ekonomi Islam Global untuk tahun kesepuluh,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS