Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Muhyiddin, Hamzah, Tuan Ibrahim, Samsuri antara layak jadi PM'
2

Di mata Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, PN tidak mempunyai masalah untuk mencari pemimpin dari parti gabungan itu bagi dijadikan calon perdana menteri menjelang PRU akan datang.

Kata bekas ketua Pemuda Bersatu itu lagi, PN boleh mengetengahkan lebih daripada satu nama untuk dipertimbangkan dan ditawarkan kepada pengundi nanti.

Bercakap kepada Malaysiakini semalam, Wan Ahmad Fayhsal menjelaskan, seseorang pemimpin yang ingin dicalonkan sebagai perdana menteri mestilah mempunyai hubungan yang baik dengan pihak istana.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

Justeru, katanya, salah seorang daripada pemimpin PN yang boleh ditonjolkan ialah Muhyiddin Yassin sendiri.

"Sebagai seorang negarawan senior, Tan Sri Muhyiddin ada hubungan yang baik dengan pihak istana," katanya.

Tidak hanya Pengerusi PN itu yang dianggap layak oleh Wan Ahmad Fayhsal.

Turut dilihat mempunyai hubungan yang baik dengan raja-raja Melayu di mata Ahli Parlimen Machang itu ialah seorang lagi pemimpin kanan Bersatu dan dua dari PAS.

Muhyiddin Yassin

"Pemimpin lain yang boleh diketengahkan - yang saya dah semak punyai hubungan baik dengan istana - ialah Hamzah Zainudin.

"Turut berpotensi ialah Dr Ahmad Samsuri (Mokhtar), dan Tuan Ibrahim (Tuan Man) kalau dalam konteks hubungan baik dengan istana Pahang.

"Maknanya kita (PN) ada lebih daripada seorang calon yang berpotensi," katanya.

Ahmad Samsuri merupakan salah seorang Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu serta Ahli Parlimen Kemaman. Tuan Ibrahim pula ialah Timbalan Presiden PAS.

Sokongan hampir tepu

Hamzah merupakan ketua pembangkang di parlimen dan bekas Setiausaha Agung Bersatu dan PN sebelum dilantik menjadi Timbalan Presiden Bersatu pada awal Nov tahun lalu.

Semalam pemimpin tertinggi PAS, Hashim Jasin, berkata akar umbi PAS yakin bahawa yang sepatutnya memimpin PN ialah parti tersebut, malah ada banyak hujah untuk menjustifikasikannya.

Antara faktor itu, kata Mursyidul Am PAS berkenaan, ialah mereka mentadbir empat negeri, memiliki ahli rasmi seramai sejuta orang selain lebih ramai penyokong di seluruh negara.

Dalam wawancara dengan Utusan Malaysia itu juga Hashim menegaskan tidak ada sebarang perbincangan dibuat oleh Bersatu dengan PAS sebelum mereka menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri dari PN.

Ahmad Samsuri Mokhtar

"Tidak ada, itu diumumkan (Bersatu) sahaja. Saya yakin kalau benda itu dibincangkan dulu, tidak jadi begitu. Setahu saya, memang tiada perbincangan," katanya.

Ketika ini PAS mempunyai 43 wakil di Dewan Rakyat berbanding 25 Bersatu.

Menurut Wan Ahmad Faysal selain mempunyai hubungan baik dengan raja-raja Melayu, PN memerlukan seorang pemimpin yang boleh memenangi sokongan lebih ramai pengundi termasuk dalam kalangan bukan Melayu.

Hal itu kerana, tambahnya, sokongan PN daripada pengundi Melayu-Islam sudah hampir tepu sepenuhnya.

"Jadi kita (PN) perlukan anjakan paradigma. Untuk itu, kita tak boleh bergantung kepada seorang individu saja, tetapi mungkin sekurang-kurangnya beberapa pemimpin dari PAS dan Bersatu yang boleh menyakinkan golongan pertengahan, khususnya bukan Melayu, dan bahagian bandar di Pantai Barat (Semenanjung).

“Kita memerlukan pemimpin daripada PAS dan Bersatu yang boleh membantu PN memenangi PRU,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS