Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengurus putih mata, lebih RM1.6 juta lesap pelaburan kripto palsu
Diterbitkan:  Jan 15, 2025 8:45 AM
Dikemaskini: 12:45 AM

Seorang pengurus syarikat swasta di Ampang Jaya mengalami kerugian lebih RM1.6 juta selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan mata wang tidak wujud yang diiklankan di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata mangsa seorang warga tempatan berusia 61 tahun, telah tertarik dengan iklan tersebut sebelum menghubungi suspek melalui panggilan telefon.

Menurutnya suspek kemudian menghantar satu pautan laman sesawang kepada mangsa untuk tujuan pelaburan.

“Selepas itu, mangsa membuat 15 kali pindahan wang dalam talian berjumlah RM1,630,000 ke dalam enam akaun bank suspek yang berbeza bagi tujuan membeli mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) untuk ditukarkan kepada mata wang kripto.

“Pengadu tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan setelah membuat pemindahan wang secara berperingkat bermula 18 Okt hingga 31 Dis 2024, sebelum membuat laporan polis di Ampang Jaya semalam,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Hussein berkata seorang pesara syarikat swasta turut mengalami kerugian berjumlah RM997,105.50 setelah diperdaya oleh sindiket penipuan telefon atau ‘phone scam’ yang memaklumkan bahawa mangsa mempunyai kesalahan jenayah.

“Mangsa, seorang lelaki warga tempatan berusia 62 tahun, diperdaya dengan tuduhan kononnya dia menyalahgunakan produk penjagaan kulit, mempunyai waran tangkap berkaitan kes dadah serta terlibat dalam kes penggubahan wang haram.

“Susulan itu, suspek meminta mangsa membuat pembayaran bagi mengelak waran tangkap dikeluarkan ke atasnya sebelum mangsa membuat dua kali pindahan wang secara dalam talian ke dua akaun bank berbeza,” katanya.

Hussein berkata suspek juga meminta mangsa memuat naik gambar bahagian depan dan belakang kad pengeluaran wang automatik (ATM) miliknya.

Selepas tindakan tersebut, katanya mangsa mendapati wang dalam akaunnya berkurangan.

Menurutnya susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS