Walaupun terdapat peraturan yang mewajibkan latihan perubatan bagi menjalankan prosedur rawatan kecantikan, banyak pusat kecantikan di Lembah Klang menawarkan perkhidmatan ini menggunakan juru kecantikan tidak bertauliah.
Ini termasuk prosedur seperti rawatan laser dan suntikan yang dianggap invasif menurut Garis Panduan Amalan Perubatan Estetik Kementerian Kesihatan yang diterbitkan pada 2020.
Lebih buruk lagi, kegagalan agensi-agensi untuk menguatkuasakan peraturan dan kekeliruan bidang kuasa antara agensi menyebabkan mangsa prosedur yang gagal hampir tiada ruang untuk mendapatkan pembelaan.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kementeriannya tidak membenarkan pusat kecantikan menjalankan prosedur pembedahan atau estetik invasif.
Namun, pada 2023, kementerian menerima 306 aduan tentang prosedur estetik gagal yang dilakukan di pusat kecantikan yang tidak dibenarkan, dan 46 aduan lagi sehingga November tahun lalu.
Menteri kesihatan dalam jawapan parlimen pada 4 November berkata, statistik aduan dan rawatan itu mungkin tidak mencerminkan situasi sebenar kerana ia tidak termasuk kes di hospital swasta.
Selain itu, katanya, ramai mangsa tidak bersedia untuk tampil membuat aduan.
Dzulkefly menegaskan hanya doktor yang memiliki Surat Tauliah dan Keistimewaan (LCP) untuk amalan estetik yang boleh menjalankan prosedur estetik perubatan invasif.
Katanya, prosedur juga harus dijalankan di premis berdaftar bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.
Mangsa ditolak ke sana sini
Walaupun begitu, seorang pegawai kanan Kementerian Kesihatan berkata mangsa sering ditolak ke sana ke mari apabila cuba mengadu.
"Apabila mangsa pergi ke polis, mereka kata ia lebih berkaitan dengan Akta Perubatan, tetapi apabila pergi ke Kementerian Kesihatan atau Majlis Perubatan Malaysia (MMC), MMC kata individu itu bukan pengamal berdaftar, jadi ia di luar bidang kuasa mereka dan aduan ditolak.
"Jadi sekarang, mangsa tidak tahu ke mana hendak pergi," kata pegawai yang enggan dinamakan itu.
Sumber dalam industri menyatakan bahawa juru kecantikan yang menjalankan prosedur perubatan sepatutnya disabitkan bawah Seksyen 33 Akta Perubatan 1971, yang melarang individu tidak layak daripada mengamalkan perubatan dengan hukuman denda hingga RM2,000 untuk kesalahan pertama.
Namun, Kementerian Kesihatan belum menggunakan peruntukan tersebut meskipun mengetahui perkara itu, kata pegawai itu, sambil menambah bahawa sekadar mengarahkan pusat kecantikan menghentikan perkhidmatan adalah tidak mencukupi.
Guna garus panduan lama
Pada 2022, bekas timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna Rosol Wahid berkata industri kecantikan tidak dikawal selia, dan kerajaan sedang meneliti Garis Panduan Industri Kecantikan 2013 untuk menutup kelompongan.
Pegawai kanan Kementerian Kesihatan berkata garis panduan itu dimansuhkan pada 2015 tetapi tiada pengumuman awam dibuat, membolehkan pusat kecantikan mempertahankan tindakan mereka.
Keadaan bertambah keliru apabila majlis perbandaran membenarkan prosedur tertentu dijalankan oleh juru kecantikan.
Sebagai contoh, Majlis Perbandaran Ampang Jaya tidak mewajibkan penyediaan doktor di pusat kecantikan, manakala Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur membenarkan prosedur seperti rawatan laser bawah lesen rawatan kecantikan biasa.
Kementerian Kesihatan tidak menyediakan akreditasi untuk juru kecantikan.