Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Panglima baru ATM tak lama lagi, tunggu perkenan Agong - sumber

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka bakal mempunyai ketua baru tidak lama lagi, menurut sumber yang mengetahui perkara ini.

Malaysiakini difahamkan Majlis Angkatan Tentera mengadakan mesyuarat minggu lalu untuk memutuskan pangliman baru ATM yang akan menggantikan Jeneral Mohammad Ab Rahman. Kontrak perkhidmatan Mohammad dijangka tamat tidak lama lagi.

Nama calon telah dicadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang juga merupakan Pemerintah Tertinggi ATM, untuk mendapat perkenan.

"Ya, akan ada ketua baru bagi Angkatan Tentera. Pengumuman akan dibuat tidak lama lagi dan majlis serah terima dijangka berlangsung pada akhir bulan ini," kata salah seorang sumber, yang bercakap dengan syarat enggan dinamakan.

Mohammad, (gambar atas) yang berasal daripada cabang Tentera Darat dilantik panglima ATM pada 6 September 2023 dan berkhidmat di bawah kontrak lanjutan sejak mencapai umur persaraan wajib pada Mac tahun lalu.

Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin ketika dihubungi Malaysiakini enggan memberikan komen tetapi memberi bayangan kenyataan rasmi mengenai perkara ini akan dikeluarkan tidak lama lagi.

"Tunggu pengumuman," katanya ringkas melalui mesej teks.

Sumber enggan mendedahkan identiti panglima baru ATM sehingga pengumuman rasmi dibuat, tetapi seorang daripada mereka memberi petunjuk calon tersebut mungkin bukan daripada kalangan panglima tiga cabang ATM sekarang - Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sebaliknya, sumber mendakwa calon itu adalah seorang jeneral tiga bintang yang "sangat dihormati", pernah menjadi komander dalam misi antarabangsa dan mahir dalam beberapa bahasa asing.

Sementara itu, Malaysiakini juga bertanya kepada Khaled mengenai mesej yang tular di media sosial, yang mendakwa akan berlaku perubahan dalam kepimpinan tertinggi bagi cabang TDM, TLDM dan TUDM.

Kepada pertanyaan ini, menteri itu menafikan dakwaan tersebut.

"Tidak benar," kata Khaled.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS