Parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) perlu berbincang mengenai siapa yang akan menjadi calon perdana menteri mereka, kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, tetapi menegaskan perbincangan itu mesti dilakukan secara dalaman.
Kenyataan ini dibuat selepas Mursyidul Am PAS Hashim Jasin (gambar bawah) dilaporkan menyatakan dalam satu wawancara bahawa PAS seharusnya memimpin gabungan pembangkang, merujuk kepada kekuatan politiknya berbanding Bersatu.
“Untuk menghadapi pilihan raya, kita perlu ada seorang komander. Kita mesti jelas siapa dan komander ni biasanya dia calon PM. It goes without saying (tak payah sebut pun).
“Dan pemimpin itu, secara konvensyen, adalah calon perdana menteri. Macam (Perdana Menteri) Anwar (Ibrahim) dulu, dia jadi ketua pembangkang kan.
"Jadi ketua pembangkang, mesti orang yang boleh memimpin keseluruhan blok.
"Isunya sekarang ini tak perlu kita (bincang terbuka) bagi saya perbincangan tu boleh dibuat tapi dalaman.
"Perlu (bincang), kerana kalau kita tidak bincang kita ada syak wasangka dan perbezaan yang dibawa keluar.
"Benda ini tak perlulah. Tapi saya hormat pandangan Hashim Jasin, tak ada masalah. Cuma elok dibincang dalamanlah,” kata Fayhsal ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Terdahulu, Hashim dipetik media tempatan berkata tiada perbincangan antara PAS dan Bersatu mengenai calon perdana menteri PN.
Hashim berkata pengumuman baru-baru ini oleh seorang pemimpin Bersatu yang menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri PN dibuat tanpa merujuk kepada PAS.
Ahli akar umbi PAS, kata Hashim lagi meletakkan harapan tinggi untuk melihat parti itu memimpin negara, memandangkan sokongan yang lebih luas yang mereka terima berbanding Bersatu.
Bagaimanapun, Hashim turut menekankan keputusan seperti itu tidak boleh dibuat secara sepihak oleh PAS dan perlu dibincangkan secara mendalam antara parti-parti dalam PN.
Tambah Fayhsal, dia percaya Hashim melalui laporan media tempatan itu cuba menyampaikan mesej PAS mahu PN mengadakan perbincangan dan mencari penyelesaian terbaik.
Ahli parlimen Machang itu turut menyuarakan keyakinannya PAS akan terus bersikap pragmatik seperti yang ditunjukkan sebelum ini apabila parti itu mencadangkan Hamzah Zainudin daripada Bersatu untuk memimpin blok pembangkang.
Fayhsal berkata ramai orang tidak tahu PAS yang membuat keputusan menamakan Hamzah dan ini menunjukkan parti itu mempunyai strategi dan bersikap pragmatik.
"Soal perdana menteri dari PAS ke Bersatu ke nombor dua. Apa Hashim Jasin nak maksudkan, bagi saya ya, kena faham politik Melayu ni berlapik, banyak yang tersirat, bukan macam politik Mat Saleh.
"Jadi sebenarnya PAS nak bagi isyarat pada Bersatu dan semua komponen, bincanglah. Bincang cari penyelesaian yang terbaik.
"Mungkin calon perdana menteri PAS itu dari Bersatu. Wallahualam, saya tidak tahu. Ini hanya firasat saya berdasarkan masa Hamzah dipilih (PAS) jadi ketua pembangkang,” katanya.