Selepas mengaku salah kerana mengambil dadah namun mengaku sebaliknya atas pertuduhan memiliki bahan terlarang itu, mahkamah di selatan Thailand mengarahkan enam warga Malaysia bertindak sewajarnya untuk menyokong hujah tersebut.
Memberi arahan itu melalui khidmat jurubahasa, hakim Mahkamah Daerah Narathiwat, Yuan Khao Kham, berkata mereka - termasuk seorang penyanyi yang dikenali dengan lagu Bae Sobar Bae - perlu mencari bukti dan saksi yang boleh digunakan nanti.
Tambah hakim terbabit, kes berkenaan melibatkan kepentingan awam di Malaysia dan Thailand.
Justeru, katanya, mahkamah mahu memastikan kes berkenaan diselesaikan segera.
"Biasanya ia (perbicaraan dadah) akan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk mahkamah menyelesaikan kes seperti ini, tetapi saya berjanji akan membuat keputusan awal Mac," katanya seperti dipetik BH Online petang ini.
Media Malaysia pada Nov tahun lalu melaporkan seorang penyanyi dikir barat moden ditahan bersama lima yang lain kerana disyaki memiliki 6,000 biji pil dadah - yang juga dikenali sebagai pil kuda.
Mereka kemudian terus ditahan dalam penjara di Narathiwat sebelum didakwa hari ini.
Seorang daripada mereka ialah Eda Ezrin, 30, atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail. Lima yang turut didakwa hari ini ialah suami penyanyi terbabit, Mohd Affendi Ahmad, 35; serta Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; Erdeka Mohd Noor, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26.
Mengikut pertuduhan mereka didakwa memiliki 6,059 pil Yaba dan menggunakan bahan larangan berkenaan di sebuah hotel di bandar Sungai Golok kira-kira jam 5 pagi, pada 1 Nov lalu.
Zuhaira dan Erdeka juga menghadapi pertuduhan tambahan iaitu memasuki Thailand tanpa dokumen sah, selain tinggal melebihi tempoh masa dibenarkan.
Keenam-enam mereka diwakili tiga orang peguam dengan seorang daripadanya disediakan oleh kerajaan Thailand.
Ketika Yuan bertanya sama ada tertuduh ingin berkata apa-apa, semua mereka dilaporkan diam dan menundukkan kepala.
Hakim terbabit kemudian menetapkan 11, 13 dan 14 Feb akan datang untuk tertuduh menyediakan bukti berkaitan kepada mahkamah.