Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PANDUANKINI | Isu terbaru yang menggemparkan masyarakat Malaysia berkisar pada sandwic ham dan keju yang dilabelkan sebagai halal.

Golongan konservatif melihatnya sebagai satu lagi contoh Islam diperlekeh manakala yang lain tertanya-tanya kenapa isu ini diperbesarkan.

Bagaimana semuanya bermula?

Pada 10 Jan, kumpulan pelajar Pembina Universiti Malaya (UM) yang berkait dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), memuat naik video menyuarakan kebimbangan tentang sandwic ham dan keju yang dijual di cawangan KK Mart di kampus UM.

Dalam video itu, seorang ahli Pembina UM menyatakan dia telah membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai logo halal yang didakwa palsu dan tidak memenuhi spesifikasi.

Dia juga melakukan semakan dalam direktori halal Jakim dan mendapati produk tersebut tidak memiliki sijil halal.

Deskripsi video itu pula mempertikaikan bagaimana produk ham boleh dilabelkan sebagai halal.

Keesokan harinya, UM dilaporkan menutup dua cawangan KK Mart di kampus itu untuk membolehkan siasatan dijalankan.

Kemudian pada malam Ahad, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh memuat naik video yang mengutuk KK Mart, mempersoalkan bagaimana ham boleh menjadi halal.

Apa itu ham?

Secara tradisional, ham merujuk potongan daging babi yang diawet, biasanya dihidangkan dalam bentuk hirisan.

Namun, pada 1970-an, versi ham yang menggunakan daging paha ayam belanda diawet diperkenalkan di Amerika Syarikat. Kini, produk ham juga termasuk yang diperbuat daripada ayam.

Dalam konteks Malaysia, produk ham yang dijual di luar restoran dan kedai runcit yang menawarkan makanan tidak halal biasanya diperbuat daripada ayam belanda atau ayam.

Namun, produk tersebut biasanya dilabelkan sebagai hirisan ayam atau ayam belanda, bukannya ham.

Ini kerana, menurut garis panduan pensijilan halal, nama produk yang sinonim dengan item tidak halal termasuk ham, tidak boleh disahkan halal dan mesti menggunakan deskripsi alternatif.

Dalam kes sandwic KK Mart, ia menggunakan perkataan ham dan tidak menyatakan daging haiwan apa yang digunakan untuk membuat ham tersebut.

Rangkaian kedai serbaneka itu menjelaskan pada hari Isnin bahawa ia ham ayam yang telah disahkan halal.

Kenapa status halal jadi isu?

Penggunaan sijil dan logo halal - seperti yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) - bukan keperluan dalam Islam.

Sebaliknya, ia bertujuan membantu pengguna Muslim mengenal pasti produk yang memenuhi piawaian ketat bagi memastikan status halal dan kebersihan (toyyiban) untuk restoran serta produk makanan yang dijual.

Secara ringkas, semua makanan dan restoran dengan logo halal yang sah itu halal, tetapi tidak semua makanan halal mempunyai sijil halal atau logo.

Namun, terdapat peningkatan permintaan dan perhatian terhadap status sijil halal di kalangan pengguna Islam Malaysia.

Jadi, adakah sandwic ham itu halal?

Menurut KK Mart, pembekal sandwic - Shake and Bake Cafe Sdn Bhd - telah memberikan sijil halal untuk ham ayam dan keju yang digunakan dalam sandwic tersebut.

Secara teori, melainkan ujian oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mendapati bahan tidak halal dalam sandwic itu maka dari sudut agama ia halal dimakan.

Namun, menjadi halal dimakan dan menggunakan bahan yang disahkan halal tidak bermaksud produk itu disahkan halal dan boleh menggunakan logo halal yang dikeluarkan oleh Jakim.

Untuk produk makanan siap, sijil halal memerlukan semua bahan dan keseluruhan rantaian bekalan produk diperiksa oleh Jakim sebelum disahkan.

Dalam kes sandwic yang dijual di KK Mart, sandwic itu sendiri tidak mempunyai sijil halal.

Gambar fail, serbuan KPDN ke premis kilang sandwic.

Tambahan pula, kementerian mendapati kilang pembuatan sandwic itu tidak memiliki sijil halal yang sah.

Kementerian juga menyatakan sijil yang telah tamat tempoh asalnya dikeluarkan kepada syarikat lain yang telah diambil alih oleh Shake and Bake Cafe.

Penggunaan logo halal tanpa kebenaran merupakan kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan dan syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 untuk kesalahan pertama.

Apa lagi yang silap dengan sandwic itu?

Selain tidak mendapat kebenaran menggunakan logo halal, KK Mart menyatakan Shake and Bake Cafe juga tidak diberi kuasa menggunakan logo KK Mart pada pembungkusan.

KK Mart sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap Shake and Bake Cafe berhubung perkara ini.

Shake and Bake dimiliki oleh seorang pemimpin akar umbi MCA dari Perak.

Apa tindakan pihak berkuasa?

Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah menyerbu kilang Shake and Bake Cafe pada hari Jumaat, selepas isu ini menjadi perhatian umum.

Namun, tindakan itu hanya didedahkan selepas media melaporkan kritikan Akmal pada pagi Isnin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS