Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjelaskan pihaknya memandang serius kekeliruan yang timbul akibat isu komunikasi dan poster program kem jati diri dan kerohanian yang berlangsung 11 Jan lalu.
UiTM menjelaskan persoalan mengenai pelajar bukan Islam hadir program motivasi di lokasi berhampiran seperti masjid dan dewan Muktamar.
Katanya ia untuk mempermudah pengurusan, menjimatkan masa dan sumber logistik serta memastikan peserta dapat mengikuti aktiviti secara teratur tanpa gangguan.
"UiTM menegaskan bahawa program Kem Jati Diri dan Kerohanian dijalankan dengan menghormati sensitiviti agama dan budaya semua peserta.
"UiTM kekal komited memastikan aktiviti kokurikulum memenuhi prinsip inklusiviti dan profesionalisme, serta menyumbang kepada pembangunan mahasiswa yang berdaya saing dan berintegriti tinggi," kata UiTM pada satu kenyataan media, hari ini.
Justeru institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu berkata pusat kokurikulumnya akan mengkaji semula prosedur penganjuran program kem jati diri dan kerohanian bagi memastikan pelaksanaannya lebih efisien pada masa depan.
"Pihak Pusat Kokurikulum akan mengkaji semula prosedur penganjuran program bagi memastikan pelaksanaannya lebih efisien pada masa depan.
"Penambahbaikan ini termasuk ketelitian dalam penyampaian maklumat dan bahan promosi untuk mengelakkan salah faham," kata kenyataan itu lagi.
Terdahulu sebuah portal melaporkan dakwaan UiTM memaksa pelajar bukan Islam (bumiputera Sabah dan Sarawak) menyertai program dakwah di masjid.
Perkara itu juga mendapat perhatian peguam dan aktivis hak asasi Siti Kasim yang turut membangkitkan dakwaan UiTM memaksa pelajar bukan muslim menghadiri satu seminar kerohanian di dalam masjid.
Dalam satu rakaman video di YouTube, Siti turut mengkritik sistem pendidikan di universiti tempatan yang mewajibkan pelajar mengambil subjek yang berkaitan dengan Islam walaupun pelajar berkenaan belajar dalam bidang kejuruteraan.
Mengulas lanjut hal itu, UiTM berkata program berkenaan melibatkan penuntut daripada kursus kokurikulum Kesatria UiTM seramai 2,447 pelajar semester pertama, termasuk 34 pelajar bukan Islam.
"Ia merangkumi elemen seperti disiplin, patriotisme, pertolongan cemas, rekreasi dan nilai kerohanian bagi pelajar Muslim manakala pelajar bukan Muslim didedahkan kepada ceramah etika sosial yang sesuai dengan keperluan mereka.
"Pelajar Muslim mengikuti ceramah pengurusan jenazah di ruang utama masjid manakala penuntut bukan Islam menghadiri ceramah etika sosial yang berlangsung selama dua jam di dewan Muktamar bermula jam 2.30 petang hingga 4.30 petang.
"Ceramah etika sosial bertujuan memberi pemahaman tentang nilai etika dalam kehidupan bermasyarakat termasuk di rumah, tempat kerja dan ruang awam.
"Selepas sesi ceramah tamat, penuntut bukan Muslim menikmati minum petang sebelum dibenarkan pulang," tambah kenyataan itu.