Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN sokong gesaan naikkan harga lantai belian padi
Diterbitkan:  Jan 14, 2025 4:27 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

PN hari ini menyatakan sokonan penuh mereka kepada desakan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) yang mendesak agar harga lantai belian padi ditingkatkan berbanding RM1,300 setiap satu tan yang ditetapkan kerajaan sekarang.

Ketua Portfolio Pertanian dan Keterjaminan Makanan PN Ronald Kiandee berkata kerajaan juga perlu mengawal selia pengilang agar sebarang perbuatan manipulasi harga belian padi yang menganiaya pesawah dapat dikekang.

"Kumpulan pesawah merintih untuk menyuarakan rasa hati kerana kecewa dengan penetapan harga lantai belian padi yang mereka anggap sebagai 'membunuh' dan mengadakan siri demonstrasi.

"Itu adalah bukti ketidakprihatinan berterusan kerajaan Madani dalam menangani isu keterjaminan makanan serta masalah kepayahan golongan pesawah," katanya.

Tambah Ronald, kekecewaan yang dinyatakan PeSawah itu juga menjadi bukti bahawa kerajaan tidak memiliki empati terhadap kepayahan hidup rakyat di sebalik hakikat petani sudah terjejas dengan kenaikan harga diesel ekoran jentera penuai padi dan pembajak tidak termasuk dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Hingga ke hari ini juga, dakwa Ronald, masalah beras tempatan yang 'ghaib' di pasaran gagal diselesaikan oleh kerajaan.

"Sepatutnya, kerajaan perlu lebih sensitif dengan masalah yang dihadapi pesawah demi keterjaminan makanan negara," katanya.

Pada 8 Jan lalu PeSawah mendakwa penanam padi berdepan kesukaran kerana harga lantai belian padi yang ditetapkan kerajaan dua tahun lalu - sebanyak RM1,300 satu tan - ketika ini tidak lagi mampu menampung kos yang ditanggung mereka.

Harga semasa didakwa antara RM1,500 hingga RM1,800 satu tan.

Dakwa PeSawah, ada kilang tertentu mengambil inisiatif dengan membeli padi berkenaan pada harga yang lebih tinggi daripada RM1,300 namun ditegur oleh Bahagian Pembangunan Industri Padi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Mereka kemudian didakwa mengarahkan agar harga yang ditetapkan itu dipatuhi.

PeSawah juga mahu kementerian menurunkan kos benih padi sah kepada RM45 bagi setiap beg jika masih mahu mengekalkan harga beras pada RM2.60 sekilogram dan menurunkan harga padi kepada RM1,300 per tan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan kemudian menafikan dakwaan yang mengatakan mereka mengeluarkan arahan untuk pengilang membeli padi pada harga lebih rendah berbanding harga semasa.

Kata kementerian itu kenyataan media yang dikeluarkan oleh PeSawah adalah tidak tepat dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pesawah serta pemain industri padi dan beras negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS