Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak menteri kahwin di negara jiran, kawan-kawan pun tak tahu - IGP
Diterbitkan:  Jan 14, 2025 3:40 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Anak menteri kabinet yang didakwa mengugut kekasihnya untuk menggugurkan kandungan telah berkahwin secara rahsia dengan wanita itu tahun lalu.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata polis mengesahkan sijil nikah pasangan terbabit adalah sah.

Dia berkata, pasangan itu sebenarnya menyorok perkahwinan yang berlangsung pada September tahun lalu dan rakan mereka sendiri tidak tahu mengenai perkara itu.

"Apabila jadi isu macam ini, kawan-kawan mereka pun tidak tahu...jadi mereka tidak mahu memperbesarkan kerana takut keluarga terasa hati," katanya dipetik Berita Harian.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail memberi bayangan bahawa lelaki yang disiasat itu adalah anaknya.

Saifuddin menegaskan anaknya tidak kebal undang-undang dan sebarang siasatan polis mesti dilakukan secara telus dan adil.

Terdahulu, satu laporan polis tular di media sosial yang mendakwa anak seorang menteri kabinet mengugut seorang wanita yang dihamilnya untuk menggugurkan kandungan.

Anak menteri itu juga didakwa cuba menendang perut wanita berkenaan tetapi tidak mengenainya.

Laporan itu mendakwa pemuda tersebut enggan "bertanggungjawab" selepas wanita itu disahkan hamil.

Razarudin hari ini berkata kertas siasatan sudah dilengkapkan dan dihantar kepada Timbalan Pendakwaraya (TPR) di Pulau Pinang untuk menunggu arahan selanjutnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS