Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
17 pusat kecantikan tawar prosedur estetik sudah didakwa - KKM
Diterbitkan:  Jan 14, 2025 3:40 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Sekurang-kurangnya 17 pendakwaan telah dibuat terhadap pusat kecantikan yang menawarkan prosedur estetik perubatan tanpa kelayakan yang sewajarnya, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut KKM, pemilik pusat kecantikan terbabit didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Kenyataan KKM itu dikeluarkan sebagai reaksi kepada laporan Malaysiakini yang mendedahkan bahawa terdapat pusat kecantikan yang beroperasi menawarkan prosedur berkenaan tetapi tidak memiliki kelayakan yang sepatutnya.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan pusat kecantikan itu termasuklah suntikan dan rawatan "laser" - yang dianggap sebagai prosedur perubatan oleh KKM.

Walaupun menyalahi undang-undang, rawatan sedemikian ditawarkan secara terbuka di pusat kecantikan di seluruh negara, dengan "kolej" kecantikan menawarkan "pentauliahan" untuk menjalankan rawatan melalui kursus jangka pendek yang berlangsung selama beberapa hari.

Mengikut undang-undang, untuk membolehkan seseorang melaksanakan prosedur sedemikian, pengamalnya mesti memegang surat tauliah dan keistimewaan (LCP) Amalan Perubatan Estetik.

Sebagai perbandingan, seseorang doktor estetik berdaftar mengikuti latihan tambahan dua hingga tiga tahun selepas perkhidmatan kerajaan wajib apabila mereka tamat pengajian perubatan.

Mereka juga perlu lulus peperiksaan lanjut untuk mendapatkan LCP.

Sumber kanan dalam industri itu berkata kelemahan penguatkuasaan juga menyebabkan mangsa prosedur yang gagal terpaksa ke sana dan ke sini untuk mendapatkan bantuan.

“Apabila mangsa pergi mengadu ke polis, pihak berkuasa memberitahu ia lebih relevan dengan Akta Perubatan, tetapi apabila mereka pergi ke KKM dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) untuk mengadu, mereka (MMC) akan mengatakan pihak yang menjalankan prosedur tersebut bukan pengamal berdaftar, justeru ia berada di luar bidang kuasa mereka dan mereka menolak (aduan).

"Jadi sekarang, mangsa benar-benar tak tahu ke mana nak pergi," kata seorang pegawai kanan KKM yang enggan namanya disiarkan kerana mereka tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media.

Sumber dalam industri berkata, jurusolek yang menjalankan prosedur perubatan sepatutnya ditahan mengikut Seksyen 33 Akta Perubatan 1971.

Seksyen itu melarang orang yang tidak berkelayakan daripada mengamalkan prosedur perubatan, dan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 bagi kesalahan kali pertama.

Bagaimanapun, KKM masih belum menggunakan undang-undang berkenaan walaupun kegiatan pusat kecantikan menawarkan prosedur tanpa kelayakan itu memang berada dalam pengetahuan mereka.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS