Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan habeas corpus CEO GISBH, isteri ditolak
Diterbitkan:  Jan 14, 2025 3:05 PM
Dikemaskini: 7:05 AM

Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini menolak permohonan habeas corpus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) Nasiruddin Mohd Ali dan isterinya Azura Md Yusof yang difailkan pada Okt tahun lalu.

Kedua-dua mereka mengemukakan permohonan tersebut bagi mencabar penahanan mereka yang dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma.

Melalui permohonan itu Nasiruddin dan Azura memohon agar dibebaskan serta-merta. Susulan keputusan mahkamah, pasangan suami isteri berkenaan kekal berada dalam tahanan pihak berkuasa.

Hakim Abu Bakar Katar ketika membuat keputusan itu berkata setelah meneliti hujahan lisan dan bertulis kedua-dua pihak, mahkamah mendapati isu dikemukakan oleh kedua-dua pemohon tidak berpihak kepada mereka.

"Mahkamah ini berpendapat semasa notis usul difailkan pada 24 Okt 2024, pemohon-pemohon tidak berada dalam tahanan Sosma. Pemohon-pemohon berada dalam waran menahan yang sah dikeluarkan Mahkamah Sesyen Selayang.

"Mahkamah ini berpendapat semasa writ habeas corpus difailkan, pemohon tidak berada dalam tahanan salah atau tahanan tidak wajar. Pemohon berada dalam waran menahan yang sah," katanya.

Pada prosiding hari ini, pemohon diwakili barisan peguam diketuai Rosli Kamaruddin, dan dibantu Najib Zakaria, Boestamam Ahmad, Dorina Abdullah, Hasnan Hamzah, Muhammad Zaim Rosli, Luqman Zainal, Schanni Feizal dan Muhammad Zahier Rosli.

Responden pula diwakili Peguam Kanan Persekutuan Mohd Zain Ibrahim serta Peguam Persekutuan, Mohamad Firdaus Sadina Ali dan Nur Syahidah Mohamad Khamil

Turut hadir pada prosiding hari ini ialah wakil dari Majlis Peguam Malaysia, Syahmi Nawawi, yang memantau bagi kepentingan awam.

Sebelum ini, prosiding permohonan habeas corpus Nasiruddin dan Azura itu didengar pada 30 Okt lalu, dengan kedua-dua pemohon itu menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pendakwa Raya, Pengarah Penjara Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Pada 23 Okt lalu Nasiruddin dan Azura didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Bandar Country Homes, Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 Sept 2024.

Sementara itu, Rosli ketika ditemui di luar pekarangan mahkamah berkata pihaknya menerima arahan daripada anak guam supaya memfailkan rayuan penolakan permohonan habeas corpus berkenaan di Mahkamah Persekutuan minggu hadapan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS