Malaysia perlu segera melaksanakan undang-undang pembiayaan politik yang komprehensif bagi mengurangkan risiko rasuah dan pada masa yang sama meningkatkan ketelusan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Bercakap di Persidangan Pembiayaan Politik Antarabangsa hari ini, Azalina menekankan bahawa ketiadaan undang-undang khusus yang mengatur pembiayaan politik di Malaysia mewujudkan jurang yang signifikan dan meningkatkan risiko rasuah.
Katanya parti politik terutamanya bergantung pada yuran keahlian, derma, pemilikan aset dan usaha sama perniagaan untuk mendapatkan dana, yang membawa risiko rasuah.
"Sesetengah parti mungkin mengambil kesempatan daripada keperluan pembiayaan untuk mendapatkan pengaruh yang tidak wajar, dengan mengharapkan rasuah atau layanan istimewa sebagai balasan," katanya.
Persidangan itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Pembaharuan Institusi, William Leong, dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Aira Azhari.
Azalina juga menegaskan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 - yang mengehadkan perbelanjaan kempen dan mewajibkan laporan perbelanjaan pilihan raya- hanya terpakai kepada calon individu, bukannya kepada parti politik.
Katanya sesebuah parti politik tidak diwajibkan untuk mendedahkan sumber pembiayaan mereka.
"Ini adalah masa yang sesuai untuk Malaysia membangunkan undang-undang pembiayaan politik yang kukuh dan berkesan dengan menyelaraskan inisiatif tersebut dengan agenda reformasi undang-undang dan institusi kerajaan Madani," katanya.
Ahli Parlimen Pengerang itu turut menegaskan, banyak negara maju telah mewujudkan peraturan ketat mengenai pembiayaan politik bagi memupuk ketelusan dan integriti.
Ia termasuk mengehadkan sumbangan dermawan dan menggalakkan sumbangan awam yang lebih kecil untuk mengurangkan kebergantungan kepada penderma yang berpengaruh.
Sementara itu, mengulas mengenai langkah kerajaan memohon perintah larangan bersuara untuk melarang sesiapa sahaja daripada membincangkan isu berkaitan kes permohonan semakan kehakiman Najib Razak, Azalina berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) mungkin mempunyai alasn sendiri untuk meneruskan permohonan tersebut.
“Mungkin Pejabat Peguam Negara mempunyai alasan undang-undang mereka sendiri, dan mereka ingin mengemukakan perkara ini ke mahkamah dan biarlah mahkamah membuat keputusan. Kita perlu menghormati perkara itu,” katanya.
Semalam, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili kerajaan dan enam lagi responden berkata permohonan itu dibuat kerana kes tersebut menyentuh isu sensitif dan kes akan difailkan pada 20 Jan.
- Bernama