Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mangsa banjir di Pahang meningkat, Johor berkurang

Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang meningkat sedikit pagi ini manakala di Johor berkurang kepada 2,498 orang berbanding 2,584 malam tadi manakala di Perak dan Sarawak kekal.

Di PAHANG, aplikasi Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan peningkatan mangsa susulan air pasang dan angin kencang di Rompin pagi ini, melibatkan 184 mangsa daripada 42 keluarga berbanding 168 orang daripada 40 keluarga semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Rompin memaklumkan kesemua mangsa yang terjejas ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Jawa membabitkan penduduk Kampung Pantai 3 dan 4 serta Kampung Jawa.

Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa daripada 732 keluarga itu ditempatkan di 30 PPS yang beroperasi di empat daerah terjejas.

"Daerah Kota Tinggi kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,172 orang diikuti Pontian (739), Kluang (534) dan Johor Bahru pula 53 orang.

"Selain itu, hanya stesen Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dilaporkan melebihi paras bahaya dengan bacaan 14.73 meter (m) (trend menurun)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata daerah Segamat, Kluang dan Batu Pahat diramalkan hujan manakala Pontian, Kota Tinggi, Tangkak serta Kulai mendung dan di Johor Bahru, Muar dan Mersing dijangka cerah pagi ini.

Azmi berkata Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) di Kota Tinggi tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan susulan dinaiki air banjir dan tiada jalan alternatif.

Di PERAK, Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa pagi ini di daerah Manjung kekal 31 orang daripada sembilan keluarga.

Kesemua mangsa terbabit berlindung di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai di Beruas sejak 9 Jan lepas dan mereka terdiri penduduk dari Kampung Padang Serai, Kampung Kasi serta Kampung Pengkalan Damar.

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, paras air Sungai Rui di daerah Hulu Perak berada pada paras berjaga-jaga iaitu 165.44 m berbanding paras normal 165.10 m.

Di SARAWAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata PPS di Dewan Kompleks Sukan Kanowit menempatkan 20 mangsa banjir daripada 13 keluarga dari Rumah Leo dan Rumah Alice Jimmy manakala PPS Dewan Sebaguna Nanga Ngungun menempatkan 20 mangsa daripada lima keluarga dari Rumah Suzy Lily.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS