Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said tidak bersetuju dengan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) baru-baru ini untuk mendapatkan perintah larangan ulasan (gag order) berhubung kes semakan kehakiman titah tambahan yang melibatkan Najib Razak.
"Sejujurnya, pandangan peribadi saya, tidak sepatutnya ada perintah larangan ulas," katanya kepada pemberita ketika hadir Persidangan Pembiayaan Politik Antarabangsa, di Kuala Lumpur, hari ini.
“Pertama, kes itu akan menjadi domain awam.
“Kedua, parlimen akan bersidang bulan depan. Jadi semua ini akan timbul semula.”
Namun, menteri itu percaya, AGC mempunyai alasan tersendiri untuk memohon larangan tersebut, dan menekankan badan kehakiman mesti dibenarkan bertindak bebas dalam hal berkenaan.
“Untuk berlaku adil, saya fikir AGC mempunyai alasan undang-undang sendiri, dan mereka memfailkan permohonan rasmi (larangan bersuara).
"Apabila (permohonan itu) dihantar kepada mahkamah, kita serah kepada mahkamah untuk membuat keputusan dan kita hormati keputusan itu.
“Jadi, biarlah mahkamah buat keputusan,” katanya lagi.
Semalam, AGC yang mewakili Lembaga Pengampunan dan kerajaan memaklumkan akan memohon perintah perlindungan dan perintah larangan terhadap kes semakan kehakiman berhubung titah tambahan yang melibatkan bekas perdana menteri itu.
Najib memohon semakan kehakiman bagi menguatkuasakan dakwaan titah tambahan yang membolehkan dia menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan rumah.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman atas alasan afidavit sokongan oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima sebagai bukti.
Namun minggu lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan tersebut dan memberi kebenaran bagi mendengar permohonan Najib untuk didengar. Mahkamah juga membenarkan Najib menggunakan afidavit anaknya, Nizar, yang mendakwa Istana Pahang mengesahkan kewujudan titah tambahan.
Pada 29 Januari tahun lalu, Lembaga Pengampunan memaklumkan bahawa hukuman penjara ke atas Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib kemudian mendakwa terdapat titah tambahan yang membolehkan dia menjalani hukuman di rumah, dan bukan di Penjara Kajang.
Hukuman ini berkaitan kes salah guna kuasa, pecah amanah, dan pengubahan wang haram melibatkan penyelewengan RM42 juta daripada SRC International.