Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB T'ganu sambut kunjungan Duta Besar China, terima sumbangan banjir
Diterbitkan:  Jan 14, 2025 11:10 AM
Dikemaskini: 3:10 AM

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing bersama delegasinya semalam.

Pertemuan yang berlangsung di kediaman Seri Iman itu dimanfaatkan untuk berbincang dan bertukar pandangan mengenai pelbagai bidang kerjasama, termasuk peluang ekonomi, pelaburan, pendidikan dan pelancongan.

Dalam kenyataan di Facebook, Ahmad Samsuri menyatakan penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan kerajaan China kepada mangsa banjir di Terengganu di samping menghulurkan bantuan barangan keperluan bernilai RM50,000 kepada 500 mangsa banjir di Kampung Pulau Rusa.

"Semoga pertemuan ini akan menjadi titik permulaan untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang pada masa akan datang sekali gus memberi manfaat buat negeri dan rakyat Terengganu khususnya, insya-Allah,” katanya.

Menurut laporan Harakahdaily, Kedutaan Republik Rakyat China menerusi Yayasan Ikram Malaysia menyumbang barangan keperluan asas bernilai RM50,000 kepada 500 penduduk yang terjejas akibat banjir di daerah ini.

Antara barangan yang disumbangkan termasuk tilam, bantal, selimut, dan tuala.

Menurut Ouyang, sejak beberapa tahun ini, Kedutaan China telah bekerjasama dengan jabatan dan pertubuhan awam di Malaysia untuk melakukan aktiviti kebajikan.

Menurutnya terdapat juga badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang menjadi rakan kerjasama penting kepada kedutaan sejak sekian lama dan sering bekerjasama dalam pelbagai inisiatif.

Terdahulu hari ini, Ahmad Shamsuri menyambut dan mengiringi Ouyang serta delegasinya menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS